Sunday, August 14, 2022

Harapan rakyat terhadap Abang Jo, Uggah dan Masing

Secara Rawak

Melantik tiga Timbalan Ketua Menteri bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi kabinet negeri Sarawak kerana amalan itu pernah diamalkan pada dekad 1980-an dahulu.

Tiga Timbalan Ketua Menteri baharu yang dijadualkan mengangkat sumpah pada 3 petang ini bersama enam lagi yang lain, ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Namun, kali ini faktor kewujudannya tidak sama dengan pertimbangan pada dekad berkenaan.  Dengan menjadikan keseimbangan kuasa, kesinambungan, kesetiaan, tradisi, dan percubaan untuk mengelakkan konflik  sebagai faktor yang menjadi sandaran, maka Ketua Menteri perlu membuat percaturan pintar dan cerdik bagi memastikan kestabilan dalam Barisan Nasional (BN) terpelihara.

Malah, pembubaran Teras dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), adalah dalam kerangka politik sedemikian, kerana selagi isu berkenaan tidak diselesaikan, selagi itulah pelantikan anggota kabinet yang representatif tidak dapat dibentuk, dan BN Sarawak tidak dapat melangkah ke hadapan dengan pasti.

Hanya jika semua pemimpin parti komponen berpuas hati, konflik dan pergeseran dapat dielakkan, dan seterusnya dengan kestabilan berkenaan Tan Sri Adenan Satem dapat memberi tumpuan kepada agenda yang digariskannya, termasuk yang terkandung dalam manifesto pilihan raya 7 Mei.

Pelantikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri bukanlah mengejutkan.  Mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Aflred Jabu yang sudah berada di jawatan itu untuk empat dekad, Douglas, dari segi kekananan jawatan dan pengalaman, memang paling layak memikul tanggungjawab tersebut.

Selepas Jabu, yang memegang jawatan Timbalan Presiden PBB, Douglas yang memegang jawatan Naib Presiden Kanan PBB, ialah pemimpin dari sayap Pesaka paling kanan.

Apatah lagi, dari segi tradisi dan konvensi, jawatan itu memang menjadi hak pemimpin daripada sayap Pesaka.

PBB yang ditubuhkan pada awal 1970-an pada zaman pemerintahan Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yakub, terdiri daripada parti Bumiputera dan parti Pesaka, dengan Bumiputera dianggotai oleh kaum Melayu/Melanau, manakala sayap Pesaka oleh kaum Dayak. Konvensi berkenaan sampai bila-bila perlu dikekalkan dan tidak boleh dikompromi bagi memastikan keseimbangan dan survival PBB.

abg jo uggah masing_0000

Sebarang pelantikan terbabit menggambarkan kuasa politik yang ada pada wakil parti yang dilantik, dan sebagai mewujudkan keseimbangan dan kesenimbungan.

Siapa berada di jawatan apa turut  membayangkan kemungkinan barisan pelapis dan pengganti masa depan ke jawatan utama negeri.

James Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh, bersama pasukannya berjaya memenangi kesemua 11 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus meletakkan parti berkenaan  kedua terbesar selepas PBB yang sekarang mempunyai 46 wakil rakyat.  

Pada pilihan raya ke-11, PBB bertanding di 40 kerusi dan memenangi kesemuanya.

Tiga lagi calon langsung yang dikaitkan dengannya, turut menyertai parti tulang belakang BN itu, iaitu Miro Semuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja), dan Datuk Grerawat gala (Mulu).

Selain itu,  tiga wakil rakyat daripada Teras, yang turut bertanding atas tiket langsung BN dan menyertai PBB  ialah Tan Sri William Mawan (Pakan), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau).

Dengan itu,  bermakna untuk pertama kali dalam sejarah, PBB mempunyai jumlah wakil rakyat melebihi 50 peratus daripada keseluruhan 82 di DUN Sarawak.

Meskipun demikian, sebelum ini walaupun peratusannya tidak melebihi angka berkenaan, hakikatnya, parti terbabit mempunyai beberapa orang wakil rakyat daripada parti komponen yang mesra PBB.

Kemasukan Masing sebagai Timbalan Ketua Menteri juga bukanlah terlalu mengejutkan, mengingat bahawa khabar angin sudah mulai bertiup  beberapa bulan lalu.

Lagipun, Masing perlu diberi tempat bagi mengelakkan konflik dan rasa tidak puas hati, kerana bukan sahaja sebagai menteri kanan, tetapi sebagai pemimpin parti yang sudah memberi sumbangan kemenangan besar, dengan memenangi 11 kerusi, Masing tentu berasa beliau layak menduduk kerusi itu dengan elaun dan kuasa yang tidak kurang besarnya.

Masing mahu muncul sebagai pemimpin Iban yang bergengsi, menggantikan Jabu. Namun, amat penting bagi beliau bekerjasama baik dan menjalin hubungan harmoni dengan Uggah.

Seorang lagi timbalan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, juga selayaknya diberi tempat berkenaan.

Dengan presiden SUPP Datuk Dr. Sim Kui Hian tidak menduduki tempat berkenaan, disebabkan tidak mencapai kuota kemenangan yang dihajatkan, maka Abang Jo, gelaran mesra untuk Timbalan Presiden PBB,  memang tokoh paling layak.

Beliau yang diuar-uarkan antara calon Ketua Menteri selepas Tun Abdul Taib Mahmud, dilihat sebagai pemimpin yang memilik kesetiaan, komitmen, kebijaksanaan, dan keupayaan untuk meneruskan kesinambungan.

Difahamkan, Ketua Kenteri telah menyerahkan tugas penting kepada beliau. Dari segi kematangan politik, keupayaan beliau memang tidak dapat dinafikan lagi.

Adakah kedudukannya di jawatan itu, memberi bayangan apa yang akan berlaku selepas Adenan berundur nanti?  

Berdasarkan pergerakan, posisi beliau dalam gambar, dan tugas yang dipikulnya kini, Abang Johari kelihatan menjadi orang kanan dan orang kepercayaan Adenan untuk melaksanakan misi dan agenda penting beliau ketika ini baik dalam politik mahupun pentadbiran dan pengurusan negeri.

Apa pun, pasukan kabinet Adenan merupakan kabinet beliau sebenarnya walaupun sebahagian diwarisi daripada Taib Mahmud. Di atas bahu kabinet inilah terletak harapan 2.7 juta rakyat Sarawak, dan juga 1.13 juta pengundi.

Mereka perlu mulai bekerja seiring sejalan dengan penuh komitmen, dan mengelak dari terlalu banyak berpolitik, demi memacu pembangunan Sarawak dalam pelbagai bidang.

Kabinet ini akan berdepan sekali lagi dengan rakyat lima tahun dari sekarang, tentunya tanpa Adenan yang berjanji untuk berundur selepas menamatkan penggal ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru