Monday, November 28, 2022

Cemerlang walau jauh di pedalaman Belaga

Secara Rawak

BELAGA: Menetap di kawasan pedalaman di Sarawak tidak bermakna seseorang itu terikat dengan taraf pendidikan yang rendah, ketinggalan daripada prasarana pendidikan dan akses pendidikan yang terhad.

Keadaan jelas sudah berubah pada masa ini seperti yang dibuktikan dengan peningkatan pelajar luar bandar di Sarawak yang mencatat keputusan akademik cemerlang dan semakin ramai yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Hakikatnya, sudah terbukti bahawa pelajar di pedalaman termasuk anak-anak masyarakat Orang Ulu, mampu cemerlang dalam akademik.

Antaranya ialah Alastair Beluluk, 18, berketurunan etnik Lahanan yang tinggal dan bersekolah di kawasan pedalaman yang berjaya mencatat keputusan akademik cemerlang. Beliau memperoleh 2A+, 2A, 2A-, 2B+, 1B dalam SPM 2015.

Beliau tinggal di rumah panjang Uma Lahanan di penempatan semula Sungai Asap, kira-kira 60 kilometer dari Belaga, yang menjadi antara pintu masuk ke kawasan pedalaman di Bumi Kenyalang.

“Bagi saya kehidupan di sini sudah cukup selesa dan ada banyak kemudahan. Apa pun kita hendaklah bersungguh-sungguh mahu mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan mendapat keputusan cemerlang, mesti boleh,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor dan bakal melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Labuan.

Bagi Ferdinand Lawai, 18, yang tinggal di Kampung Data Kakus, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Sungai Asap, meskipun aktif dalam sukan olahraga, beliau tetap mengambil serius tentang pelajarannya.

Beliau yang memperoleh 3A+, 2A dan 4A- dalam SPM tahun lepas berkata: “Saya tidak sangka akan mendapat keputusan sebegini kerana saya aktif dalam sukan olahraga sehinggakan ada pelajaran yang tidak faham dan terlepas. Namun saya sering ulang kaji terutamanya yang terlepas atau tidak faham.”

Ferdinand, yang pada masa ini sudah dapat tawaran dari Universiti Teknologi Petronas dalam jurusan Kejuruteraan Petroleum, berharap dapat pulang ke kampung sendiri untuk menabur bakti selepas menamatkan pengajian kelak.

Taraf kehidupan lebih baik

Anjakan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Ulu, khususnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman, berupaya memberikan kualiti kehidupan dan pekerjaan yang lebih baik.

Mujan Surang, 28, menjadi bukti kejayaan anak komuniti rumah panjang. Beliau berasal dari rumah panjang Uma Kelap, antara rumah panjang yang dipindahkan ke Sungai Asap.

Mujan mendapat pendidikan sekolah rendah di Belaga sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Sains Miri. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan dan kemudiannya ke Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dalam bidang mekanikal dan pembuatan.

Beliau memperoleh ijazah pada Nov 2012 sebelum mula bekerja dengan Sarawak Hidro kira-kira dua bulan kemudian. Di samping bekerja, Mujan yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di UMS, percaya bahawa pendidikan merupakan satu kunci utama yang dapat mengubah taraf hidup dan menjadikan seseorang itu boleh berjaya.

“Bagi saya pendidikan adalah satu elemen yang sangat penting untuk mengubah taraf hidup dan menjadi lebih maju. Saya membuktikan walau berasal dari kawasan pedalaman, malah terkesan dengan projek empangan, tidak bermakna saya tidak boleh berjaya,” katanya.

Mengakui memang bercita-cita untuk berkhidmat kepada komuniti rumah panjang tempat asalnya, Mujang bangga dapat berkhidmat sebagai Jurutera Operasi Sarawak Hidro Sdn Bhd. (Sarawak Hidro adalah syarikat pengendali operasi Empangan Bakun)

Cemerlang walau di pedalaman

Keluarga Alastair dan Mujan adalah antara 10,000 orang daripada 15 buah rumah panjang di sekitar Sungai Balui yang ditempatkan semula ke kawasan penempatan rumah panjang yang lebih moden di Sungai Asap pada 1998 dan 1999 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek Empangan Bakun.

Bagi memperkasakan pendidikan serta mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dengan di luar bandar, pengwujudan sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun, yang terletak di Sungai Asap, Belaga, menyediakan peluang bagi anak-anak komuniti di situ menikmati kemudahan pendidikan seperti kanak-kanak lain di negara ini.

SMK Bakun pada mulanya menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Methodist Kapit pada 2002 dengan jumlah pelajarnya tidak sampai 100 orang.

Pengetua SMK Bakun Roger Peter berkata SMK Bakun yang kini terletak di Sungai Asap memiliki 1,371 pelajar dengan bilangan tenaga pengajar kira-kira 90 orang. Sekolah itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober 2015.

Roger berkata 95 peratus pelajar di sekolah itu adalah daripada komuniti rumah panjang moden di Sungai Asap dan sekitarnya, manakala bakinya ialah anak-anak pekerja Sarawak Hidro.

“Hingga kini pelbagai bantuan diterima daripada kerajaan dan Sarawak Hidro bagi memastikan pelajar di sekolah ini tidak tercicir. Kita mahu menjadi sebuah sekolah yang mampu melahirkan barisan pelajar yang berjaya meskipun jauh daripada kemodenan,” tambah beliau.

Roger ditemui Bernama pada program anjuran Sarawak Hidro di SMK Bakun baru-baru ini, yang menyaksikan syarikat berkenaan mengambil SMK Bakun sebagai sekolah angkat di bawah program ‘Adopt a School’, satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat itu.

Program motivasi

Sementara itu, Pengarah Urusan Sarawak Hidro Ir Zulkifle Osman berkata pelbagai program dianjurkan untuk pelajar Tingkatan Lima yang berjumlah 211 orang di sekolah itu, termasuk ‘English Camp’ dan program motivasi yang dijalankan secara berterusan bagi membantu para pelajar mencatat pencapaian lebih baik dalam pelajaran mereka.

“Kita utamakan pelajar Tingkatan Lima agar mampu mendapat keputusan peperiksaan SPM lebih cemerlang. Kita mungkin perluaskan program kem Bahasa Inggeris dan motivasi ini ke SMK Belaga, dengan harapan kedua-dua sekolah ini menjadi sekolah elit.

“Mungkin untuk tahun mendatang kita juga akan ke sekolah rendah dan berikan tumpuan pada murid Darjah Enam pula… kita beri 100 peratus komitmen kepada komuniti di sini dan akan membantu sebaik yang boleh,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga bercadang untuk menambah bahan bacaan di perpustakaan SMK Bakun, selain menambah baik kemudahan lampu jalan berdekatan laluan ke sekolah demi keselamatan pelajar.

Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Hidro, yang hadir pada majlis itu berkata sekiranya masyarakat pedalaman diberikan peluang pendidikan sama rata dengan penduduk bandar, tidak mustahil mereka akan dapat menyambung pelajaran dan menyumbang sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Tidak mustahil pelajar di pedalaman mampu mencapai keputusan yang baik seperti orang lain, mereka cuma perlukan lebih perhatian dan sekiranya tumpuan sebegitu diberikan, mereka juga mampu menonjol,” katanya.- Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru