Duda Terlajak Laris, Isteri Duda Terhangat

0
6

“Duda Terlajak Laris”, “Mr. Boss”, “Miss Stalker”, “Suamiku Encik Gula”, “Isteri Duda Terhangat” dan “Mr. London Ms. Langkawi” adalah antara novel Melayu terlaris yang disenaraikan di laman web mphonline.com baru-baru ini.

Trend pembaca khususnya generasi Y, yang juga dikenali generasi milenium (yang lahir tahun 1981-1994), lebih gemar memilih bahan bacaan ringan dan santai. Bahan bacaan mereka menggunakan pelbagai istilah ‘bahasa moden’ yang merangkumi pelbagai slanga terkini, berbanding bahasa Melayu sastera dan bercorak ilmiah, menimbulkan persoalan mengenai ‘pengisian’ yang bakal diperoleh mereka.

Melihat perkembangan ini, Sasterawan Negara ke-13 Datuk Dr Zurinah Hassan berkata trend berkenaan adalah sesuatu yang membimbangkan khususnya dalam pembinaan modal insan berkualiti kepada negara.

Ganggu proses pembinaan

Berpendapat ia memberi kesan negatif terhadap penyebaran bahan bacaan berunsur ilmiah selain mengganggu proses pembinaan generasi yang cerdik dan berilmu, beliau pada masa sama berkata ia merupakan ancaman kepada sahsiah dan masa depan bangsa sebagai masyarakat bertamadun yang tinggi nilai sastera dan budayanya.

“Tajuk-tajuk novel seperti itu bukan sahaja menjadi bahan bacaan pilihan golongan muda bahkan menjadi fenomena dan ikutan sehingga terbawa-bawa ke dunia realiti apabila banyak drama dan filem diadaptasi daripada novel-novel tersebut.

“Apa akan jadi jika kita terus melahirkan masyarakat khususnya Melayu, yang asyik berkhayal sedangkan orang lain sibuk memperteguh pendidikan, kemahiran dan memajukan diri mereka untuk merebut lebih banyak peluang yang ada?” katanya kepada Bernama.

Cenderung hiburan

Berpendapat senario itu berlaku ekoran kecenderungan masyarakat yang secara umumnya lebih suka kepada hiburan, Zurinah, 66, berkata sikap masyarakat yang gemar memilih bahan bacaan bersifat ‘escapism’ iaitu melepaskan diri atau lari daripada masalah dan kemelut kehidupan sebenar, turut menyumbang kepada trend berkenaan.

“Novel-novel yang menggunakan bahasa yang tidak mengikut nahu yang betul atau dengan kata lainnya mengandungi banyak ‘pencemaran bahasa’ khabarnya sangat laris dan diulang cetak berbelas-belas kali. Hal seperti ini tidak pula terjadi kepada novel-novel yang serius termasuk karya sasterawan negara dan sasterawan besar yang lain.

“Karya-karya sasterawan seperti Keris Mas dan Shahnon Ahmad mendedahkan perihal masyarakat sebenar (realiti kehidupan) dan mengajak pembaca berfikir, malangnya kebanyakan pembaca tidak berminat kepada cerita-cerita berat yang sebenarnya mampu menjana daya dan tahap pemikiran mereka,” katanya.

Sediakan bahan berkualiti

Justeru, bagaimana mengatasi perkara itu?

Menjawab persolan itu, Zurinah yang mula dikenali melalui kumpulan sajak pertama beliau iaitu “Sesayup Jalan” yang dihasilkan pada 1974 berkata kerajaan perlu giat memainkan peranan dalam menyediakan bahan bacaan ilmiah sekurang-kurangnya melalui Komponen Sastera (Komsas).

“Ini kerana, hakikat sebenar adalah masyarakat masih dan kekal berkeperluan kepada bahan bacaan yang dapat membentuk dan membangunkan minda mereka terutama dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah yang bakal menjadi pewaris bangsa.

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga perlu lebih kreatif menyediakan bahan bacaan yang menarik dan tidak menerbitkan bahan semata-mata mengikut selera masyarakat atau yang laris di pasaran. Pendek kata, terbitkanlah bahan bacaan yang dapat membentuk masyarakat bukan bahan bacaan yang dibentuk oleh masyarakat,” tambah beliau.

Jaga nilai sastera

Zurinah juga berpendapat, golongan sasterawan seperti beliau perlu menghasilkan penulisan yang kekal menjaga nilai sastera tetapi pada masa sama berkeupayaan menarik minat generasi muda ke arah corak penulisan tersebut.

“Inilah yang menguji kewibawaan seorang sasterawan. Pujangga Melayu sememangnya orang yang bijak menggunakan bahan sastera untuk membentuk masyarakat, seperti mana nenek moyang dahulu menggunakan pantun dan nyanyian untuk menyebarkan ajaran dan nasihat berguna.

“Agama Islam sendiri tersebar luas di Nusantara melalui nazam, iaitu sejenis puisi lama yang disampaikan dengan nyanyian. Contohnya, Nazam Sifat 20 dan nyanyian lagu Burung Kenek-Kenek iaitu: Burung kenek-kenek, hinggap di atas dahan, pesan datuk nenek, jangan lupa pada Tuhan,” ujarnya.

Beliau berkata usaha berterusan perlu dijalankan bagi menyebarkan puisi dan lagu-lagu sama ada melalui cetakan atau menggunakan platform seperti You Tube dan media sosial.

Ditanya bagaimana nilai positif dan aspek ilmiah boleh diterapkan dalam bahan bacaan bercorak santai dan ‘ringan’, Zurinah berkata pendekatan yang lebih positif, kreatif dan pelbagai perlu disuntik selaras dengan minat generasi muda.

Bahasa lalui perubahan

“Dalam menghadapi cabaran ini, kita juga perlu menerima hakikat bahawa semua perkara akan berubah, begitu juga dengan bahasa. Bahasa akan melalui perubahan namun keindahan dan pengisian yang sepatutnya ada pada bahasa itu perlu dikekalkan sampai bila-bila.

“Contohnya, tema kisah cinta yang masih menerapkan nilai tatasusila budaya di samping menyelitkan unsur-unsur pengajaran, nilai murni dan motivasi. Ini wajar dimasukkan sebagai elemen dalam sesebuah penulisan kerana ia dapat membantu dalam pembinaan watak pembaca yang baik sekali gus membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak,” jelas beliau.

Saling bergantungan

Mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung sambutan terhadap pendidikan sastera di sekolah-sekolah negara ini yang dilihat agak membimbangkan kerana pelajar lebih berminat mengikuti bidang sains, Zurinah menegaskan bahawa kedua-dua bidang tersebut adalah saling bergantungan dan tidak boleh dipisahkan.

“Persepsi dan tindakan majoriti masyarakat pada hari ini yang meminggirkan pendidikan sastera atas alasan kemajuan pembangunan teknologi hanya boleh diperoleh melalui pendidikan sains semata-mata, perlu diperbetulkan.

“Sastera sangat penting dalam membentuk nilai murni. Apa ertinya kemajuan jika ia boleh terhapus dengan tangan-tangan manusia yang rakus termasuklah ahli politik yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan maruah bangsa dan negara,” katanya.- Bernama