Ahli akademik: Rasionalisasi perkhidmatan awam tepat waktunya

0
4

KUALA LUMPUR: Program rasionalisasi perkhidmatan awam dilaksanakan tepat pada masanya memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat, kata seorang ahli akademik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata langkah untuk mengemas kini dan menyelaras skim perkhidmatan awam akan memberi manfaat kepada penjawat awam, terutama golongan di gred yang lebih rendah dan kini bergelut bagi memastikan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, kata beliau, secara keseluruhannya masih banyak ruang yang perlu ditambah baik dalam skim perkhidmatan awam supaya para penjawatnya akan lebih berdaya saing dan setanding dengan pekerja sektor swasta.

Menggesa kerajaan untuk memberi perhatian terhadap skim kenaikan gaji atau bayaran bonus kakitangan awam berdasarkan prestasi, Ahmad Martadha berkata: “Ini kerana, kebanyakan kakitangan tidak akan berusaha sebaik mungkin untuk bekerja dengan cemerlang, jika bonus diberikan kepada kesemua pekerja, tanpa mengira prestasi atau pencapaian mereka.

“Sedangkan, sektor swasta mengutamakan prestasi kerja individu sebagai indikator untuk kenaikan pangkat atau imbuhan,” katanya kepada Bernama.

Program rasionalisasi perkhidmatan awam diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada 14 April.

Menurut pekeliling itu, sejumlah 252 skim perkhidmatan awam sedia ada akan ditambah baik dan dikurangkan menjadi hanya 240 skim, dengan tangga gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 daripada RM837 pada masa kini. Skim perkhidmatan baru akan berkuat kuasa pada 1 Julai.

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dalam satu kenyataan awal bulan ini berkata bahawa beberapa skim perkhidmatan akan dihapuskan di bawah program rasionalisasi kerana skop, tugas dan fungsi pekerjaan itu didapati menjadi tidak relevan dan tidak lagi diperlukan.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan budaya kerja yang kondusif dalam perkhidmatan awam agar kehendak dan kebajikan masyarakat dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin selaras dengan slogan kerajaan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata program rasionalisasi itu sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk berkhidmat sebagai penjawat awam.

“Bukan sahaja beberapa skim dimansuhkan, malah skim gaji juga ditambah baik mengikut keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Azih juga menggesa generasi muda agar melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran vokasional dan teknikal bagi merebut peluang mengisi keperluan dalam beberapa bidang tertentu di sektor awam umpamanya kejuruteraan.