Sunday, September 25, 2022

Teras dibubar, PBB kuasai 46 kerusi DUN Sarawak — boleh bentuk kerajaan tunggal

Secara Rawak

KUCHING: Pemangku Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Datuk Peter Nansian hari ini mengesahkan bahawa parti politik itu akan dibubarkan mulai hari ini.

Menurutnya, para pengikut parti yang ditubuhkan oleh kalangan wakil rakyat BN tanpa parti itu akan mengikut jejak tiga pemimpin mereka — Tan Sri William Mawan, Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang menyertai parti komponen BN yang baharu, seperti yang disyaratkan sebagai calon langsung BN.

“Tindakan ini diambil kerana mereka tidak boleh menyertai kembali parti Teras,” kata Nansian lagi.

Menurut perjanjian sebagai calon langsung BN, mana-mana mereka yang menang akan bebas memilih parti komponen untuk disertai.

Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, ketiga-tiga bekas pemimpin Teras ini memilih untuk memperkukuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan menjadi sebahagian daripada wakil rakyatnya.

Tindakan ini pasti mengejutkan pimpinan parti komponen lain kerana dengan sendirinya, PBB akan menguasai 46 daripada 72 kerusi yang dimiliki parti itu.

Berdasarkan risikan tiga calon langsung lain iaitu di Serembu, Mulu dan Bukit Semuja dikatakan turut memilih parti itu sebagai tempat mereka bersandar selepas ini.

Kejayaan ini sebenarnya menunjukkan kemenangan sebenar Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem kerana dengan sendirinya, beliau akan mendapat ruang dan keadaan yang selesa memandangkan majoriti kuasa berpihak kepada partinya.

“Atas apa jua yang dilakukan oleh parti komponen selepas ini, parti ini (PBB) tetap kental dan teguh kerana ia memiliki kuasa yang cukup untuk melaksanakan kerajaan — malah melebihi 42 kerusi yang disyaratkan,” kata penganalisis politik, Dr Nadrawina Isnin. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru