Thursday, June 30, 2022

Strategi kemenangan SUPP

Secara Rawak

Beberapa orang calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menang dan kalah kelihatan berkunjung ke sekitar kawasan kerusi yang ditandingi mereka pada awal pagi Ahad bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi.

Apakah itu tanda-tanda yang dimaksudkan oleh SUPP sebagai sebuah parti daripada rakyat untuk rakyat?

Mudah-mudahan amalan itu menjadi teladan kepada semua calon lain selepas ini.

Keputusan PRN-11 Sarawak mendedahkan presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Hui Kian bukan sahaja berjaya mentransformasikan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, tetapi juga parti SUPP.

Kepemimpinan beliau dan Adenan Satem dengan ooo-haa …, Adenan fever, Adenan Way memainkan peranan besar dalam kejayaan BN pada PRN-11.  

Ramai yang tidak berani menaruh sebarang harapan pada kerusi-kerusi majoriti Cina terutamanya apabila ada calon langsung BN. Malahan saya masih percaya keputusan PRN-11 akan sangat berbeza jika bukan kerana pembangkang ada pertindihan di enam kerusi.

Bukan kerana undi lawan SUPP berpecah disebabkan pertandingan tiga atau lebih penjuru kerana jika dijumlahkan semua undi, lawan mereka pun masih kalah, tetapi soal maruah seperti Cina kena panggil ‘pendatang’.

Ketika Adenan umumkan calon langsung BN, lawan SUPP sebenarnya sudah mula mengasak dengan mempersendakan mereka dengan slogan mereka sendiri juga, iaitu “what’s ours is ours” sebagai cakap sahaja, tiada kredibiliti, dan kowtow kepada Adenan apabila pembahagian kerusi pun tidak mampu mempertahankan kerusi tradisi.    

Pelbagai sindiran dilontarkan dan hadirin yang menghadiri ceramah DAP hampir pasti telah mempelajari banyak istilah baharu.

Sesetengah pihak mengaitkan kekalahan DAP dengan jumlah keluar mengundi yang rendah, tetapi berdasarkan statistik rasmi 70.1 peratus daripada SPR, jelas alasan itu boleh dipertikaikan.

Kebangkitan SUPP sebenarnya banyak terletak pada kemunculan barisan pemimpin muda. Isu tipikal yang sinonim dengan parti-parti BN sebelum ini.

Kombinasi calon berpengalaman dan muda yang terdiri daripada golongan profesional ternyata membuahkan hasil. Pemimpin muda produk tempatan ini turut dikerahkan ke kerusi-kerusi lain untuk membantu rakan mereka yang bertanding.

Agaknya perlu juga mereka yang sebaya untuk menangkis serangan daripada lawan dan serang balas.

Sudah pasti barisan pelapis pemimpin baharu ini akan lebih menonjol pada pilihan raya edisi akan datang. Boleh juga seawal pada PRU ke-14.

Media massa seperti Astro Awani, RTM, TV3 dan akhbar-akhbar Cina termasuk akhbar tempatan di Sarawak turut memainkan peranan penting membantu SUPP.   

Kebergantungan pembangkang pada isu 1MDB dan GST juga nampak memakan diri, terutamanya isu itu terlalu kompleks dan berlapis-lapis sukar difahami. Setelah sekian waktu, hari ini rakyat pun sudah boleh simpulkan sumber-sumber cerita itu rata-ratanya datang daripada siapa.  

Tidak kurang juga yang bertanya bagaimana boleh membeli banglo murah apabila penceramah panjang lebar bertungkus-lumus cuba menghuraikan soal integriti dan akauntabiliti dalam isu 1MDB. Meskipun sehingga kini masih ada sindrom penafian yang menolak isu banglo ada sebarang kesan ke atas keputusan pengundi.

Masih lagi beranggapan isu-isu yang dibawa oleh penceramah import mempunyai signifikan kepada penduduk Sarawak. Cerita kebajikan dan faedah daripada lahir, bersekolah, subsidi untuk kahwin, beranak, bantuan warga emas, atau pendek ceritanya satu kitaran hidup manusia agaknya tidak memikat hati pengundi.

Nampaknya, tawaran perkhidmatan bas percuma di Sarawak tidak berkesan, tetapi rakyat Sarawak tetap menaruh impian menaiki bas percuma apabila berkunjung ke Pulau Pinang atau Selangor nanti.

Harapan pengundi yang mengundi mereka tidak kena phang puay kee (放飞机) lah.  

Tiada siapa-siapa yang boleh menafikan pembangkang diperlukan untuk check & balance meskipun dalam zaman media sosial ini sering kali rakyat sendiri kelihatan lebih efektif memainkan peranan tersebut dengan berganding bahu mengviralkan isu-isu yang berkepentingan awam. Istilah viral dan hashtag itu sendirinya juga merupakan perkataan baharu.

Tanggapan projek-projek pembangunan seperti lebuh raya Pan Borneo ialah hasil tekanan daripada pembangkang yang kuat mungkin juga kurang tepat kerana sebarang projek pembangunan datangnya daripada pelan induk pembangunan yang dikemukakan daripada wakil yang bertanggungjawab.

Itu sebabnya perlu ada juga perwakilan daripada komuniti Cina dalam kerajaan negeri apatah lagi menyentuh dasar-dasar yang berkaitan dengan komuniti Cina.

Peti undi boleh menjadi indikator jelas. Dalam politik kita agree to disagree, berbeza pendapat ialah perkara normal, sebarang sengketa atau perbalahan pandangan wajar berakhir dengan titik noktah bersama-sama dengan tempoh berkempen.   

Sekarang, masa untuk ahli-ahli politik menunaikan janji mereka. – Sarawakvoice.com            

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru