Sunday, September 25, 2022

Polis hentikan operasi cari bangkai helikopter angkara buaya, Kementerian Pengangkutan akan ikhtiar siasatan cara lain

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak hari ini mengumumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat nahas helikopter Eurocopter AS350 ditamatkan petang ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Mohamad Sabtu Osman berkata, operasi itu ditamatkan setelah ia berjaya menemui kesemua mangsa yang terlibat, dengan mangsa terakhir, juruterbang berbangsa Filipina, Rudolf Rex Raagas disahkan identitinya hari ini.

Rudolf merupakan mangsa terakhir yang dijumpai oleh pasukan penyelamat, dengan keadaannya amat menyedihkan, dipercayai kesan gigitan buaya.

Menurut Sabtu, antara faktor yang mendorong pemberhentian operasi tersebut termasuklah kewujudan begitu banyak habitat reptilia tersebut di lokasi yang dipercayai helikopter tersebut terhempas.

de593878-064d-4682-b112-1e576e3fd2f6“Saya telah berbincang dengan wakil Kementerian Pengangkutan berhubung perkara ini dan saya tidak akan meletakkan nyawa anggota saya dalam risiko yang tidak perlu,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak dekat sini.

Kata Sabtu, penamatan operasi ini melibatkan semua anggota penyelamat pelbagai agensi, namun mereka bersedia membantu pasukan penyiasat yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan jika perlu.

“Pagi tadi kita juga telah menjalankan proses pencarian bangkai pesawat dengan menggunakan teknologi side scan sonar model Klein System 3900,” katanya, namun masih menemui jalan buntu.

Menurut Sabtu, pihaknya juga tidak dapat menggunakan senjata api apabila berhadapan dengan reptilia tersebut, memandangkan kedudukan lokasi itu berada di kawasan Taman Pemuliharaan Habitat Buaya.

Nahas pada petang 5 Mei itu berlaku ketika helikopter buatan Perancis itu sedang menghala ke Kuching dari Betong.

Helikopter yang membawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmawi Abdullah dan empat yang lain tiba-tiba terputus hubungan dengan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 4.15 petang.

Difahamkan mereka melalui kawasan yang dilanda cuaca buruk selepas melewati kawasan Triso di Sebuyau, dengan komunikasi terakhir berkaitan dengan permintaan juruterbang untuk menukar laluan penerbangan.

Helikopter tersebut bagaimanapun gagal mendarat mengikut jadual yang ditetapkan, dan selepas tiga jam, pihak Jabatan Penerbangan Awam menekan butang merah kecemasan, bagi mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat.

Menurut Sabtu, beliau amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan penyelamat yang berjaya menemui semua mangsa, bahkan orang awam dari kawasan Triso, Lingga dan Maludam yang turut sama menyertai pencarian.

Sementara itu, sekitar jam 1.30 petang tadi, keluarga Rex Raagas tampil ke Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Umum Sarawak dekat sini bagi menuntut jasad tersebut.

Jasad kemudian dibawa ke Pusat Perkhidmatan Pengebumian Nirvana di Bau bagi tujuan pembakaran, dengan abu mayat akan diterbangkan ke Filipina.

Anak saudara mangsa, Rhegel Raagas Serafin, 31, yang ditemui media kemudian melahirkan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia kerana komited melakukan pencarian hingga jasad Rex Raagas ditemui.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak syarikat yang bukan sahaja membantu proses penghantaran pulang abu tersebut, malah membiayai kos penginapan sepanjang berada di sini,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru