Sunday, September 25, 2022

Pilihan raya negeri, dan PRU-14, dua cerita berbeza

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat politik dan pilihan raya negeri Sarawak dengan Semenanjung dari kaca mata yang sama, berdasarkan prestasi BN Sarawak Sabtu lalu.

Pola pengundian dan sokongan yang diberi pengundi, termasuk dalam kalangan pengundi Cina di bandar tidak semestinya sama.

Menyusuri jalan realistik, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa lakaran kemenangan BN menguasai 88 peratus atau 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri ke-11, bukanlah cerminan sebenar pola pengundian pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Beliau berkata sedemikian dalam Program Temu Bual Eksklusif Bersama PM yang disiarkan TV1 malam tadi. Acara itu dihoskan Sayed Munawar sempena Ulang Tahun UMNO Ke-70.

13139204_1180753671956837_5440366734999211967_n

Perdana Menteri berkata, walaupun BN menang besar, namun beliau tidak mahu menganggap kemenangan itu sebagai gambaran sokongan yang sama di Semenanjung, termasuk dalam kalangan pengundi Cina.

Pengundi Cina merupakan 33 peratus daripada 1.13 juta pengundi Sarawak, dan sokongan mereka kali ini memperlihatkan pola peningkatan sekitar 10 peratus daripada  49 peratus pada 2011.

“Justeru, kita perlu lihat kemenangan itu melalui persepektif berbeza,” kata Najib.

Sebanyak  70.1 peratus pengundi  turun mengundi, dengan pembangkang khususnya DAP menganggap sebagai antara punca mereka kalah lima kerusi di bandar.

DAP tewas di lima kerusi bandar, Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau yang dikuasainya lima tahun lalu, sekali gus memberi kejutan kepadanya.

Parti yang mulai bertapak di Sarawak pada 1978 itu juga kalah di kerusi baharu, Batu Kitang, satu daripada enam kerusi ia bertembung dengan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Seperti diakui pembangkang, Najib turut bersetuju bahawa kemenangan cemerlang BN adalah kerana reputasi kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang diterima baik oleh rakyat.

Adenan mendapat penarafan populariti 85 peratus menurut kajian Majlis Profesor Negara.

Selain itu, Najib berkata bahawa perkongsian yang terbina antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri juga memberi sumbangan.

Hubungan yang harmoni antara Putrajaya dengan Petrajaya memungkinkan Sarawak mendapat peruntukan besar dari segi projek pembangunan dalam usaha kedua-dua pihak merapatkan jurang ekonomi, kemiskinan dan prasarana antara bandar dengan luar bandar dan antara Sarawak dengan Semenanjung.

Penganalisis politik  Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, pilihan raya negeri kali ini ialah referendum untuk Adenan, manakala bagi pilihan raya umum ke-14 nanti, ialah referendum untuk Najib, dengan isu melingkari beliau dan kepemimpinan kerajaan BN sebagai antara faktor utama perhitungan pengundi terutama di bandar.

Kini, BN berada dalam keadaan tertekan dengan ujian pertama  ialah pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai cerminan pola pengundian dalam PRU nanti.

Pilihan raya kecil (PRK)  itu merupakan yang ke-11 dan ke-12 selepas PRU-13.

PRK yang lain sebelum ini ialah Sungai Limau (4 Nov 2013), Bukit Gelugor (25 Mei 2014), Teluk Intan (31 Mei 2014), Pengkalan Kubor (25 Sept 2014), Chempaka 22 Mac 2015), dan Rompin (5 Mei 2015). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru