Friday, August 19, 2022

Maaf YB, jangan lupa 10 janji  YB kepada kami

Secara Rawak

  1. Segala janji waktu kempen

Kami,  pengundi dan rakyat telah diberi bermacam-macam janji oleh YB ketika tempoh kempen 12 hari, dari 25 April hingga 6 Mei lalu, dengan harapan kami beri undi kepada YB.

Kami tak hendak senaraikan janji YB itu. Atau YB  lupa-lupa ingat dan ingat-ingat lupa janji-janji itu? Kami tak pernah lupa janji YB. Kalau YB lupa, itu tandanya YB  pura-pura lupa.

  1.  YB  bermaksud Yang Berkhidmat

Jangan fikir YB hanya bermaksud Yang Berhormat. Jangan hanya minta rakyat beri hormat kepada YB, YB juga perlu hormat kepada rakyat. Kuasa YB datang daripada rakyat. Justeru, rakyat perlu sentiasa di hati YB. Berilah perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pengundi yang meletakkan YB di kerusi sekarang.

  1. Selesaikan masalah rakyat

YB ada lima tahun untuk selesaikan masalah rakyat di kawasan. Masa itu cukup panjang untuk YB selesaikan masalah yang dibawa oleh rakyat.

Pastikan  YB jawab surat yang kami hantar, dan bukannya hanya simpan di dalam fail atau lebih teruk lagi dibuang ke dalam tong sampah, lalu apabila kami tanya, beritahu kami, tidak terima surat berkenaan.

  1. YB perlu lebih banyak di kawasan

Kami harap YB peruntukkan lebih banyak masa di kawasan. Jangan hanya waktu kempen YB sanggup menjelajah semua kampung, rumah panjang dan kawasan, tidak kira siang atau malam.

YB sanggup berjabat tangan kami semua, mencium pipi anak-anak kami, dan senyum manis kepada kami.  

Kalau YB sanggup berbuat demikian waktu kempen, kami harap YB tidak mencari seribu alasan buat perkara yang sama selepas ini. Kami akan pantau dan nilai gelagat YB dalam tempoh lima tahun ini.

Semoi Peri Lingga_0001

  1. Kami tahu YB sibuk

Kami tahu YB sibuk. Meeting sana meeting sini. Tetapi kami harap, kalau kami telefon YB atau hantar mesej kepada YB melalui Whatsapp atau e-mel, jangan pula YB anggap semua itu sebagai mengganggu YB. Kami harap YB atau pembantu YB dapat membalas mesej kami.

Juga, kalau kami jemput YB  ke majlis kami, seperti perasmian sesuatu majlis dan sebagainya demi kepentingan rakyat, maka kami harap YB tidak beri alasan sibuk. Kami juga harap kalau dapat YB hadir majlis perkahwinan anak-anak kami, jika ada kesempatan.

Kehadiran YB amat besar ertinya kepada kami. Kami bangga jika YB hadir. Ingatan itu akan melekat dalam memori kami sehingga lima tahun lagi.

  1. Kami harap YB tidak makan gaji buta

Kami tahu YB dapat elaun sebanyak RM15,000 sebagai YB, jumlah elaun tertinggi di Malaysia berbanding YB di negeri-negeri lain.

Oleh itu, kami harap YB tunaikan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan berkesan dengan menyuarakan masalah dan kehendak rakyat di kawasan dalam Dewan Undangan Negeri.

Kami tidak mahu YB hanya duduk diam di dalam DUN dan tidak ikut berbahas untuk menentukan nasib dan masa depan kawasan dan negeri.

  1. Kami harap YB bersikap adil kepada pengundi

Kami harap YB tidak amalkan dasar pilih kasih. YB menang bukan hanya kerana bantuan adik-beradik, saudara-mara dan sahabat handai YB. Kami semua tanpa mengira etnik, dekat atau jauh membantu YB menang dalam pilihan raya 7 Mei.

Jadi, jauhkan daripada terjebak dalam amalan kronisme, nepotisme dan sebarang perbuatan yang menggambarkan sikap berat sebelah, diskriminasi, dan pilih kasih YB dalam mengagihkan peruntukan, projek dan sebagainya.

  1. Jangan kenyangkan perut YB, keluarga dan kawan sendiri

Kami tahu ada YB yang jatuh kerana amalan berebut untuk menambahkan jumlah wang dalam bank, saham, rumah, rumah kedai, kondominium, tanah, saham di bursa saham, dan sebagainya.

YB jangan sama sekali terjerumus dalam perbuatan yang boleh merosakkan imej dan reputasi YB sebagai orang yang kami hormati. Kami juga berharap YB tidak menjadi angkuh dan sombong. Tidak berlagak, dan berjalan seperti biasa.

Kami benci dengan YB yang berjalan seolah-olah ada telur di bawah ketiak.

juanda jemoreng_0003

  1. Kami harap YB punya wawasan dan matlamat jangka panjang untuk kawasan

YB perlu bincang dengan pemegang taruh, tidak kira rakyat biasa, penghulu, ketua kampung, guru, NGO, penjawat awam, pakar, ahli akademik dan sesiapa saja untuk merumuskan dasar dan perancangan bagi lima tahun sekurang-kurangnya, tentang apa yang perlu menjadi keutamaan di kawasan. Kami mahu masa depan kawasan lebih baik daripada keadaan sekarang.

Kami mengharapkan masalah api, air, jalan raya dan sebagainya dapat diselesaikan.

Kami juga berharap YB dapat memikirkan perkara berkaitan dengan internet yang lambat, masalah perumahan, peluang pekerjaan, peluang melanjutkan pelajaran, lot tanah, NCR, alam sekitar dan sebagainya. Kami tahu harapan kami terhadap YB terlalu tinggi, tetapi kami tidak memaksa YB untuk menjadi calon tempoh hari.

  1. Kami harapkan YB yang bijaksana

Kami mahu diwakili seorang YB yang bijaksana, dan bukan YB yang bodoh, menggunakan perkataan yang suka digunakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Walau sesibuk mana pun YB, kami harap YB tidak lupa untuk membaca sekurang-kurangnya dua akhbar sehari, satu tajuk buku seminggu, dan dua majalah sebulan. Jangan beri alasan YB tak ada masa untuk buat itu semua.

YB perlu tahu perkembangan semasa bagi membolehkan YB berbincang dengan bijaksana, mengupas dan menganalisis isu dengan betul, dan memberi ucapan yang menarik dan berguna.

Ketika berucap, kami tak mahu YB cakap sampai sejam atau dua jam. Cukuplah sekitar  15 minit hingga 45 minit. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru