Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Persoalan tentang berapa bilangan kerusi yang BN akan menang dan adakah pengundi Cina akan kembali menyokong BN dalam  PRN Sarawak ke-11 sudah  pun terjawab.

SPR telah mengumumkan bahwa BN mencatatkan kemenangan sebanyak 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN).

Kemenangan ini menjadi pancang tanda dan mencatat sejarah terbaik bagi pengerusi BN negeri di bawah pimpinan  Tan Sri Adenan Satem.

Gagal menangi sebarang kerusi

Di pihak pembangkang, DAP menang sebanyak tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandingi  dan PKR menang sebanyak tiga kerusi daripada 40 kerusi yang mereka tandingi. Sementara itu, PAS, Amanah, Star, PBDS(Baru)   dan Bebas masing-masing gagal memenangi sebarang kerusi.

Kepada banyak pemerhati politik, BN Sarawak dengan mudah akan mengekalkan kemenangan majoriti 2/3 kerusi semasa PRN kali ini. Persoalannya hanya tertumpu kepada bilangan kerusi sahaja. Ada yang menyatakan 65 dan tidak kurang juga yang menyatakan antara 68 hingga 70 kerusi.

Kepemimpinan Adenan Satem yang menggantikan Tun Taib Mahmud telah memberi fajar baharu kepada pengundi yang telah lebih 30 tahun tidak merasai perubahan polisi selama ini.

Pendekatan kempen yang sederhana dan bersahaja dengan jenama ‘team Adenan’, ‘berikan saya hanya lima tahun sahaja’, pemimpin untuk semua kaum, pengenalan calon langsung, penegasan terhadap autonomi negeri, polisi pendidikan seperti mengiktiraf UEC dan bantuan terhadap sekolah Cina ternyata diterima dengan baik oleh pengundi.

Di samping personaliti dan pendekatan yang begitu menarik ditonjolkan oleh Adenan, kedudukan BN negeri selaku penyandang juga memberi banyak kelebihan kepada mereka. Rekod calon-calon mereka dapat dinilai oleh masyarakat setempat.

Secara tradisinya, BN mendapat sokongan padu daripada pengundi bumiputera seperti Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang kebanyakannya berada di kawasan luar bandar.

Hanya dua kerusi sahaja di kawasan luar bandar yang jatuh ke tangan PKR,  iaitu Ba’kelalan dan Krian, itu pun dikaitkan dengan undi protes dan masalah dalaman yang dihadapi oleh calon BN di kawasan tersebut.

Agama bukan isu utama

Faktor agama tidak pernah menjadi isu utama di kawasan luar bandar. Perkara ini gagal difahami oleh PAS dan Amanah. Isu-isu asas pembangunan seperti api, elektrik,  jalan raya, pendidikan dan hospital mendominasi landskap isu politik luar bandar di Sarawak dari dahulu hingga kini.

Kumpulan pengundi yang berupaya membuat perubahan di Sarawak hanyalah komuniti Cina. Ini adalah kerana secara umumnya rata-rata taraf pendidikan mereka lebih baik berbanding dengan komuniti lain. Majoriti mereka tinggal di kawasan bandar dan sebahagiannya terdiri daripada golongan profesional dan kelas menengah.

Pada PRN Sarawak ke-10, sebanyak 12 kerusi majoriti Cina di kawasan bandar seperti di sekitar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri beralih kepada DAP.

Namun begitu, keputusan PRN 11 menunjukkan sebanyak lima daripada kerusi tersebut telah dimenangi semula oleh BN apabila SUPP mencatat kemenangan di DUN Batu Kawah, Repok, Dudong, Maradong dan Piasau.

Mengikut Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, iaitu Datuk  Amar Abang Johari Tun Openg, peralihan undi di lima kawasan tersebut menunjukkan masyarakat Cina menerima transformasi Adenan Satem, khususnya dalam membantu sekolah Cina dan pengiktirafan terhadap UEC.

Janji Adenan bahawa beliau tidak mahu membentuk kabinet tanpa  perwakilan daripada masyarakat Cina dilihat berjaya menghasilkan ayunan kepada calon-calon SUPP, khususnya di kawasan Batu Kawah yang ditandingi oleh Presiden parti itu, iaitu Dr. Sim Hui Kian. SUPP yang tinggal dilihat sudah hampir ke penghujung hayat semasa PRN 10 kini boleh menarik nafas kembali selepas PRN 11 apabila mereka berjaya menang sebanyak 7 kerusi daripada 13 yang ditandingi.

Bukan hak milik kekal

Keputusan PRN-11 Sarawak, khususnya di kawasan bandar menunjukkan bahawa undi Cina bukanlah hak milik kekal DAP. Model politik DAP iaitu ‘pressure politics’ atau politik desakan dengan slogan mengurangkan majoriti BN, berperanan sebagai imbang periksa dan membawa suara rakyat ke DUN telah menjadi tidak menarik kepada sesetengah pengundi Cina di bandar.

Itu belum lagi diambil kira sikap ‘anti-integrasi’ dan antikerjasama yang ditunjukkan oleh DAP dengan rakan mereka iaitu PKR sehingga menyebabkan sesetengah penyokong mereka merasa kecewa. Misalnya, dalam kes kemaraan DAP ke kawasan luar bandar sehingga menyebabkan mereka bertembung dengan PKR di enam kerusi DUN.
Jelasnya, PRN Sarawak ke-11 menunjukkan bahawa model politik BN, iaitu ‘politik pembangunan’ yang dibawa oleh Tim Adenan diterima oleh majoriti pengundi di Sarawak. Termasuklah pengundi Cina. Oooo Haa! – Sarawakvoice.com