Saturday, December 3, 2022

Kemenangan cemerlang BN indikasi positif PRU14 diawalkan — Najib

Secara Rawak

PETRA JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi membayangkan tahap sokongan luar biasa oleh pengundi Bumi Kenyalang memberi indikasi bahawa sokongan rakyat sebenarnya masih utuh dan kukuh terhadap Barisan Nasional (BN).

Keadaan ini katanya, memberikan momentum yang baik kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, yang mungkin akan berlangsung dalam dua tiga tahun akan datang, atau mungkin lebih awal.

Dengan wajah sedikit sugul dan letih, Najib yang jelas masih diselimuti kesedihan berikutan tragedi yang menimpa dua Ahli Parlimennya dalam nahas helikopter di Sebuyau, kemenangan ini memberi ruang kepada beliau untuk mengkaji lebih mendalam lagi ke arah proses mengadakan pilihan raya tersebut.

” Bagaimanapun saya gembira dengan sokongan dan suara rakyat yang jelas memberikan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Adenan,” katanya dalam sidang media khas selepas pengumuman keputusan serta majlis mengangkat sumpah Ketua Menteri Sarawak di DUN Lama lewat malam tadi.

Najib yang turut diiringi Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang cuba dibawa pembangkang nyata gagal mendapat tempat, menunjukkan rakyat negeri ini begitu matang dan terpengaruh dengan putaran isu berkenaan.

“Ini memberi gambaran rakyat Sarawak memahami manfaat GST dalam konteks merancakkan lagi pembangunan negara.

Sambil memuji kesungguhan dan keupayaan jentera BN menawan semula lima kerusi bandar yang sebelum ini dikuasai pembangkang iaitu Batu Kawa, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau, Najib menyifatkannya sebagai kebangkitan semula Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

” Ini memberi ruang untuk kita mengukuhkan BN sebagai satu keluarga, apatah lagi kemenangan ini diperoleh hasil kerjasama erat dan satu hati para pemimpin parti dari Sarawak dan pusat.

Kemenangan ini juga katanya, akan menjamin masa depan yang lebih cerah kepada negeri ini di bawah kepimpinan Adenan.

Menjawab soalan media, Najib berkata, pihaknya akan melakukan penstrukturan semula Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berikutan kemenangan menterinya, Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai calon Dun Bukit Saban (yang memungkinkannya dilantik ke kabinet negeri) serta mengisi kekosongan yang ditinggalkan Timbalan Menterinya, Datuk Noriah Kasnon dan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Sundaran Annamalai yang terlibat dalam nahas helikopter Eurucopter AS350.

Najib dan Ahmas Zahid malam tadi bergegas ke Hospital Umum Sarawak bagi menziarahi jenazah dan keluarga seorang lagi mangsa semalam, yang diterbangkan ke Kuala Terengganu dan Subang awal pagi tadi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru