Saturday, December 3, 2022

DAP mati di lima kerusi kerana demam Adenan

Secara Rawak

KUCHING:  Di sebalik kemenanganya mempertahankan kerusi Kota Sentoasa daripada ditumbangkan oleh calon Barisan Nasional (BN) Wilfred Yap, pengerusi DAP Negeri Chong Chien Jen tentu berduka kerana BN berjaya merampas kembali lima kerusi.

DAP yang meletakkan sasaran untuk memenangi 22 kerusi daripada 31 kerusi yang dipertandingkan berdepan kempen agresif BN dan juga populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mencanak, pada paras 85 peratus. Demam Adenan menjangkiti pengundi Cina di kawasan terbabit, dan akhirnya menjadi terbunuhnya harapan  lima calonnya mempertahankan kerusi berkenaan.

Chong  memperoleh 10,047 undi, namun majoritinya merosot hampir separuh.Lima tahun lalu, ketua pembangkang Sarawak itu memperoleh 12,594 undi dengan majoriti 4,824.

Sokongan masyarakat Cina jelas kembali kepada BN meskipun kerusi utama di bandar Kuching, Pending, Padungan dan Batu Lintang, Pelawan di Sibu, Tanjung Batu di Marundi dan Piasau di Miri masih kekal di tangan pembangkang. Batu Lintang dapat dipertahankan oleh PKR.

DAP hanya  mampu mempertahankan tujuh kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu, iaitu Pelawan, Bukit Assek, Pujut,  Padungan, Pending, Kota Sentsa, dan Tanjong Batu.

Ia kecundang di Batu Kawa, Batu Kitang, Dudong, Repok, Meradong, dan Piasau.

DAP turut tewas di semua enam kerusi yang menjadi rebutannya dengan sekutunya, PKR, iaitu Batu Kitang, Mambong, Ngemah, Simanggang, Murum dan Mulu.

Chong berkata kira-kira 10 peratus pengundi Cina beralih menyokong BN menyebabkan DAP tidak mampu  mempertahankan semua 12 kerusi yang dimenanginya pada 2011.

“Satu lagi ialah peratusan turun mengundi yang rendah, menyebabkan DAP gagal memperoleh undi yang diharapkan untuk mempertahankan kerusi yang ditandingi.

Chong berkata, tumpuan DAP kali ini yang lebih luas hingga ke kawasan luar bandar turut menyebabkan tumpuan di kerusi tradisi bandar terjejas dan ia tewas  di banyak kerusi.

Pada tempoh kempen pemimpin veteran DAP menyatakan kebimbangannya tentang kemungkinan parti itu tewas di tujuh kerusi, di sebalik keyakinan BN untuk menguasai 70 kerusi.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)  Datuk  Dr Sim Kui Hian yang gelah menjenamakan parti tertua Sarawak itu  menumbangkan calon DAP dan calon Bebas di kerusi panas berkenaan.

SUPP menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

DAP bertanding di 31 berbanding hanya 15 kerusi pada pilihan raya lalu, dengan 14 daripadanya di kerusi majoriti Cina, 16 majoriti Dayak dan 1 majoriti Melayu.

Berbeza daripada sentimen dan landskap politik pada 2011, kali ini pembangkang khususnya DAP berdepan kesukaran dari segi isu dan penceramah.  

Ketua Menteri telah menyekat sekitar 40  ahli politik dan aktivis. Isu GST, 1MDB dan derma RM2.6 bilion dianggap tidak cukup menarik, malah jumlah mereka yang menghadiri ceramah DAP tidak banyak, berbanding pada 2011. DAP  mendakwa GST akan dinaikkan sebanyak 10 peratus sekiranya BN memenangi pilihan raya, tetapi semua itu berjaya ditangkis BN.

“Pembangkang gunakan isu GST menunjukkan  parti itu tidak dapat sambutan seperti apa yang pembangkang mahukan.

“Orang di sini memahami kenapa GST diwujudkan kerana ia membangunkan ekonomi Malaysia,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru