Saturday, December 3, 2022

Adenan 72 DAP 7 PKR 3

BN kenduri besar PRN2016

Secara Rawak

KUCHING: “Adenan Satem” menjadi jenama paling berpengaruh dan popular di Sarawak semalam apabila berjaya memenuhi ramalan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, termasuk merampas  kembali lima kerusi yang sebelum ini dikuasai Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Kemenangan cemerlang ini seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bermakna Adenan memperoleh mandatnya sendiri sebagai Ketua Menteri Sarawak, dengan sokongan padu seluruh rakyat negeri ini, termasuk komuniti Cina.

Barisan Nasional memperoleh majoriti mudah – 42 kerusi pada jam 8.40 malam manakala kemenangan dua pertiganya atau 55 kerusi diraih 19 minit kemudian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang medianya sekitar 11.05 malam tadi berkata, sebanyak 777,081 pemilih telah menunaikan tanggungjawab mereka pada kali ini, di 2,889 saluran.

“Ia membentuk 70.01 peratus keluar mengundi daripada 1,109,795 pemilih yang layak.

Jumlah ini menurutnya, agak berkurangan berbanding 75 peratus yang disasarkan SPR.

“Kita akan kaji puncanya sama ada mereka pergi bercuti atau faktor lain. Ini termasuklah punca jumlah peratusan keluar mengundi beberapa kerusi bandar yang jauh kecil berbanding luar bandar.

Gembira perjalanan piliahan raya berlangsung lancar, dan tenang tanpa insiden, Hashim turut memaklumkan kerusi Dun Pantai Damai yang dimenangi Dr Abdul Rahman Junaidi (BN) mencatatkan jumlah majoriti paling tinggi iaitu 9,260 undi manakala kerusi Dun Telang Usan yang dimenangi Dennis Lau (BN) mencatatkan majoriti paling kecil, 167 undi.

Tan Sri Adenan Satem menjadi antara pemenang paling awal diumumkan secara rasmi, apabila kerusi Dun Tanjung Datu yang ditandinginya mencatatkan majoriti 6,828 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Munan yang hanya memunggut 468 sokongan.

Kerusi terakhir yang diumumkan ialah kerusi panas Marudi yang dimenangi calon baharu daripada BN, Datu Dr Pengguang Manggil yang memperolehi majoriti 1,387 undi pada jam 10.52 malam.

Berbekalkan kemenangan tersebut, Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak pada jam 10.00 malam tadi di Astana Negeri dengan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru