Sunday, September 25, 2022

Gempuran habis-habisan di Kuching, Miri, Sibu, malam tadi

Secara Rawak

KUCHING: Pada malam tadi calon BN dan pembangkang terutamanya DAP menggempur habis-habisan sekitar tiga atau empat jam sebelum kempen 12 hari dihentikan pada jam 12 tengah malam di tiga bandar utama Sarawak: Kuching, Sibu, dan Miri dengan harapan untuk mempertahankan 12 kerusi majoriti Cina yang dimenanginya pada 2011.

Asakan ini di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi berkenaan dan mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 kerusi.

Menurut satu analisis terakhir malam tadi satu sumber berkata, BN mempunyai harapan untuk menguasai Batu Kitang, Batu Kawa, Dudong, Bawang Assan, Piasau dan Senadin.

DAP dijangka mempertahankan kerusi Pending, Kota Sentosa, Bukit Assek, dan Tanjung Batu. Keadaan yang dianggap neutral atau seimbang bagi DAP dan BN ialah Padungan, Batu Lintang, Repok, Meradong, dan Pujut, mengikut analisis dalaman BN.

Bagaimanapun, seorang penganalisis berkata, keadaan tidak semestinya berlaku sedemikian, mengambil kira peningkatan jumlah khalayak yang menghadiri ceramah terakhir DAP di tiga bandar utama malam tadi.

DAP mencapai rekod dari segi jumlah yang hadir untuk pilihan raya ke-11  malam tadi, dengan kehadiran mencecah antara 5,000 hingga 10,000 di bandar terbabit.

Malah, jumlah pungutan menurut wakil Sarawakvoice di lokasi berkata, turut meningkat.

ceramah dap1

Namun, jumlah berkenaan tidak dapat mengalahkan jumlah hadirin pada 2011.

Tetapi, sentimen dan landskap politik yang berbeza sekarang tidak boleh disamakan dengan 2011.

Tahap sokongan tidak boleh diukur dari segi saiz khalayak.

Di kerusi panas dan hitam, Batu Kawah, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang sepatutnya hadir telah tidak muncul.

Adenan pada hari sebelumnya dikatakan mengalami demam dan pening ekoran terlalu ligat berkempen dalam tempoh 11 hari lalu.

Sesetengah pengundi berkata, Adenan terkena jangkitan demamnya sendiri ketika BN menggunakan slogan kempen “Deman Adenan” di sebalik popularitinya yang mencanak pada paras 85 peratus menurut kajian Majlis Profesor Negara (MPN).

Semalam, Adenan membatalkan semua programnya kecuali bertemu dengan media pada jam 6 petang.

Sementara calon Batu Kawah Christina Chiew yang bertembung dengan calon SUPP Datuk Dr. Sim Kui Hian diumumkan mengalami keguguran.

Dalam usaha terakhir untuk memujuk pengundi di kawasannya, Dr. Sim mengeluarkan video kempen terbaharu malam tadi bertajuk “The dawn is coming.”

Di Batu Kawah banyak isu termasuk kesesakan, banjir, peluang pekerjaan dan perniagaan, kos sara hidup. Menurut Dr. Sim ada peluang untuk selesaikan masalah itu dalam lima tahun akan datang. Akhirnya dalam video itu beliau berkata: “ I am Dr. Sim, please vote for me. And l am not going to disappoint you.”

DAP menjadi sasaran di Batu Kawah dengan kata-kata “YB DAP Sarawak does not do work” dan “DAP Tengooook Saja” dan “DAP=the king of foul words”.

Bagi DAP pula isu di tiga-tiga bandar ialah 1MDB, GST, derma RM2.6 bilion dan mengundi BN bermaksud mengundi Najib.

Di Sibu, video memaparkan komitmen pemimpin pembangkang Lim Kit Siang, 77 tahun, dipaparkan kepada khalayak, mengikut wartawan di lokasi, Lim Chai Teng.

ceramah dap

Lim melalui video berkenaan dikatakan telah menjelajah Sarawak sepanjang beribu-ribu km kempen ini, termasuk ke Kapit, dan telah mengorbankan lebih 300 jam.

Beberapa hari lalu Lim berkata DAP berdepan risiko kehilangan tujuh kerusi yang dimenanginya.

Di bandar Foochow itu, DAP berjaya mengumpul derma sebanyak hampir RM20,000, manakala di Miri mencecah RM30,000.

Adakah jumlah kehadiran dan kutipan itu merupakan manifestasi sokongan diperoleh DAP pada hari ini?

Calon BN di bandar juga tidak kurang agresif dengan jumlah yang hadir di bandar terbabit turut meningkat mencecah sekitar 2,500.

Semalam empat akhbar tempatan digunakan oleh Barisan Nasional dan beberapa orang calonnya, dan juga calon pembangkang untuk menyiarkan iklan kempen.

Pengerusi Barisan Nasional Tan Sri Adenan Satem menggunakan sepenuhnya empat buah akhbar The Borneo Post, Utusan Borneo, dan dua buah akhbar Cina, Sin Chew Daily dan See Hua.

Bertajuk “Beri Peluang Kepada team Adenan, Ketua Menteri menyeru kepada 1.13 juta pengundi agar membuat keputusan yang terbaik demi diri pengundi sendiri, keluarga, komuniti, dan negeri Sarawak.

Dengan tempoh kempen berakhir tengah malam tadi, kempen di alam maya tidak akan berhenti, dan dijangka sepanjang hari ini, kedua-dua pihak, terutama pembangkang akan melancarkan serangan melalui video Youtube, banner di Facebook, mesej singkat Twitter, gambar melalui Instagram, serta mesej melalui Whatsapp. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru