Saturday, December 3, 2022

Ini Kalilah atau Lain Kalilah untuk SUPP

Secara Rawak

7hb Mei semakin dekat. Debaran menanti keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-11 Sarawak semakin terasa khususnya bagi kerusi-kerusi majoriti Cina sama ada SUPP akan mencipta kejutan seperti Leicester City sebuah pasukan underdog yang dinobatkan sebagai juara BPL 2015/2016 atau tidak.

Seluruh bandar berkenaan seolah-olah menjadi lautan biru apabila penyokong-penyokong kelab berkenaan meraikannya dengan mengibarkan kain warna biru untuk pencapaian yang dikira sebagai upset terbesar dalam dunia sukan.

Bookie bola meletakkan kemungkinan Leicester menjuarai liga Inggeris itu 5,000-1 sepertimana sesetengah ‘pakar Semenanjung’ yang membuat kajian politik Sarawak dengan teropong dari jauh seberang Laut China Selatan memandang parti SUPP dengan pelbagai konotasi negatif dan  sebagai ‘parti yang sudah lama mati’ sehinggalah termasuklah label ‘parti nyamuk.’

Tidak kurang juga ada yang masih keliru beza antara SUPP dengan UPP dan selalu bercerita UPP itu sebagai di dalam SUPP.

Mereka umpama sudah dijangkiti penyakit untuk give up dengan pengundi-pengundi Cina. Barangkali benar menghentam dan mengkritik jauh lebih mudah daripada cuba memahaminya – terutamanya perlukan air liur sahaja.

Nasib baik dalam situasi sedemikian rupa masih ada lagi seorang Big Gun yang tidak give up dengan komuniti Cina malahan dalam tempoh singkat dua tahun ini bersungguh-sungguh cuba sedaya-upaya menyampaikan mesejnya kepada rakyat Sarawak bahawasanya beliau mahu komuniti Cina bersama-sama beliau dalam kerajaan.

Individu ini tidak lain tidak bukan adalah Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.

Ini membawa kepada munculnya tanggapan bukan pada berapa kerusi BN boleh menang kerana sudah pasti Adenan Team menang besar, tetapi berapa jumlah kerusi majoriti Cina yang mampu dimenangi.

Begitu pun Adenan dengan #theadenanway berjaya menghasilkan Adenan fever.

Menerusi beberapa siri kajian pendapat awam yang dilakukan semuanya merumuskan undi Cina sudah mula beralih kepada Adenan Team, tetapi sama ada jumlah swing tersebut cukup untuk BN menang kerusi Cina atau tidak itu tidak diketahui  – generalisasi yang pasti mendukacitakan ramai pembaca.

Namun demikian, selepas lebih seminggu berkempen, jelas kelihatan tanda-tanda beberapa kerusi majoriti Cina memihak kepada BN.

Di kala ramai yang berbicara tentang Battle of the North, pusat gegaran telah dikesan berlaku di Sarikei yang mempunyai dua DUN majoriti Cina, iaitu Repok dan Meradong.

Pada dua edisi PRN yang lepas kedua-dua DUN ini jatuh ke tangan DAP disebabkan oleh masalah dalaman SUPP. Kali ini SUPP nampak bersatu dan kuat sebagai sebuah pasukan yang telah melakukan kesiapsiagaan mereka untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat Sarawak dari tahun 2014 lagi.

Isu pemilihan calon DAP di Repok dilihat menjadi punca kemerosotan sokongan terhadap DAP.     

Jumlah peserta yang menghadiri ceramah calon Bebas N45 Repok, Wong Chin King semalam (3/5/2016) pun dilihat lebih ramai daripada jumlah yang menghadiri ceramah DAP.

Inti pati ceramah DAP juga seolah-olah tiada yang baharu kerana apa yang diperkatakan sudah boleh diagak berdasarkan pembacaan dalam Internet.

Ada juga yang sudah mulai meragui apakah yang DAP boleh lakukan untuk mereka.

Kempen SUPP pula menjurus kepada isu-isu autonomi dan tempatan negeri Sarawak.

SUPP yang menampilkan calon gandingan muda dan berpengalaman turut kelihatan makin jelas berupaya melakukan kejutan di beberapa kerusi.

Jumlah hadirin ke ceramah-ceramah SUPP jelas kelihatan melebihi lawan mereka.

Barisan pemimpin muda yang terdiri daripada golongan profesional seperti Milton Foo dan Michael Tiang memiliki kriteria paling utama pengundi Cina iaitu keberanian dan kelantangan untuk bersuara demi rakyat. Sebahagian daripada ceramah mereka boleh dilihat dalam facebook atau diakses menerusi YouTube.     

Pemimpin-peminpin ini yang diperkenalkan oleh Dr. Sim semuanya adalah produk Made in Kuching, dan Made in Sarawak. Berbeza dengan DAP yang telah mengimport penceramah-penceramah dari Semenanjung atau menayangkan video ceramah politik dari pemimpin-pemimpin DAP yang dihalang memasuki Sarawak.

Ramai juga pemimpin DAP dan PKR dari Semenanjung dan Sabah yang tiada dalam senarai imigresen telah masuk ke Sarawak membantu berkempen, malahan ada yang telah bergerak sehingga ke kawasan luar bandar.

Slogan ‘Berani Ubah’ DAP sering disebut dalam ceramah SUPP untuk mengajak pengundi – Ini Kali Lah, Berani Ubah DAP kepada BN-SUPP. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru