Sunday, September 25, 2022

DAP boleh tumbang  di kerusi majoriti Cina, kata Adenan

Secara Rawak

KUCHING:  Tan Sri Adenan Satem menyedari hakikat betapa populariti beliau yang mencecah awam tidak akan banyak maknanya selagi beliau gagal merampas balik kerusi majoriti Cina yang kini digenggam DAP pada pilihan raya ke-11 esok hari.

Justeru, Ketua Menteri dalam tempoh kempen 11 hari lalu telah menggemblengkan seluruh strategi,  jentera parti dan sumber untuk menggempur kubu kuat DAP dengan bertemu dengan pelbagai lapisan pengundi.

Berdasarkan sambutan pengundi dalam kempen berkenaan, Pengerusi BN Sarawak  itu yakin bahawa sudah terdapat angin perubahan yang bertiup ke arah Barisan Nasional. BN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 70 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kali ini.

Namun, Adenan enggan mengulas lanjut apabila ditanya kerusi DAP yang bakal tumbang, dengan berkata “andaian anda lebih kurang seperti andaian saya.”

Penganalisis politik berkata, antara kerusi yang kemungkinan BN boleh menang ialah Batu Kitang, Repok, Maradong, dan Piasau.

Namun, seperti penganalisis politik, dan wartawan, ahli politik juga masih diselubungi teka-teka sama ada segala langkah positif yang dilaksanakan kerajaan dijelmakan dalam bentuk undi atau tidak.  

Adenan mengakui tidak pasti sejauh mana sokongan tersebut membolehkan BN memenanginya di sebalik kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang  bahawa tujuh kerusi DAP kini dalam bahaya.

DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi dipertandingkan pada 2011.

“Sudah tentu ada sebilangan pengundi Cina yang kembali menyokong BN. Namun, saya sendiri tidak pasti adakah sokongan tersebut  cukup untuk menang,” kata Adenan di sidang media di Wisma Bapa, Kuching, semalam.

Adenan telah membatalkan semua program lain pada hari semalam, kecuali sidang media berkenaan atas nasihat doktornya. Sejak beberapa minggu lalu, Adenan telah ligat berkempen terutama di kawasan bandar dalam usaha untuk memenangi kerusi bandar.

“Untuk beberapa minggu lalu jadual saya begitu padat. Saya berasa pening dan bagai nak demam. Doktor menasihati supaya saya rehat dan pada petang ini saya berjumpa dengan anda semua,” katanya di hadapan wartawan dalam sidang media pada  pukul 6 petang, semalam.

Ketika ini, slogan utama yang digunakan dalam iklan kempen BN ialah “Demam Adenan”, memanfaatkan populariti beliau yang mencecah 85 peratus menurut dapatan kajian Majlis Profesor Negara.

Adenan berkata sesetengah kerusi itu dimenangi DAP dengan majoriti kecil ketika diminta mengulas keupayaan BN mendapatkan kembali kerusi majoriti Cina daripada DAP.

Antaranya ialah Dudong dengan majoriti 317 undi, Batu Kawah 543 undi, dan Piasau 1,590. Kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kecil ialah Senadin dengan kelebihan 58 undi dan Bawang Assan sebanyak 1,808 undi.

Hakikatnya, DAP juga menang dengan majoriti besar di beberapa kerusi, termasuk di Padungan (7,884), Pending (7,595), Kota Sentosa (4,182), dan Batu Lintang (8,381).

“DAP menang dengan majoriti besar ketika itu, tetapi keajaiban boleh berlaku,” katanya.

Ketua Menteri mengulangi di beberapa majlis betapa pentingnya masyarakat Cina berada dalam kerajaan.

Adenan berkata, antara calon yang berpotensi dilantik sebagai menteri kabinet ialah presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, calon Batu Kawah yang ditentang calon Bebas dan DAP.

Juga, calon langsung BN di Bawang Assan, Datuk Sri Wong Soon Koh yang terbabit dalam pertandingan lima penjuru. Kedua-dua kerusi itu dikategorikan hitam bagi BN.

“Kita mahukan wakil dari setiap komuniti serta kaum di sini,” katanya. Masyarakat Cina, kata beliau berada di persimpangan sama ada mahu memilih untuk mempunyai perwakilan yang lebih besar dalam kerajaan negeri, atau meneruskan memberontak dengan suara mereka tidak didengar dalam kabinet Sarawak.

Justeru, kata Adenan, jika mereka mahu pembabitan dalam kerajaan, mereka perlu memilih calon dalam pasukan beliau. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru