SIBU:  Penyandang kerusi Bawang Assan kini kepanasan dan kegelisahan kerana menerima asakan daripada calon yang pernah berganding bahu dengan beliau untuk memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan raya yang lepas-lepas.

Bagi Datuk Sri Wong Soon Koh, calon Bebas Watson Bangau adalah duri dalam daging yang mengancam kedudukannya di kerusi yang memungkinkan beliau dilantik menjadi menteri.

Bekas presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) sedar akan pengaruh Watson di lebih 100 rumah panjang Iban di pedalaman kawasan terbabit.

“Saya tak boleh memandang rendah keupayaan beliau yang pernah menjadi ketua PBB di kawasan itu. Namun, saya akan cuba sedaya upaya untuk melawan beliau, “ katanya.

Watson ketika menjadi Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan banyak menggerakkan jentera kempen di kawasan tersebut.

Kawasan itu mempunyai 8,000 pengundi Iban, 7,000 pengundi Cina; 6000 daripada mereka mendiami kawasan luar bandar, dan 1,000 lagi di kawasan bandar.

Kawasan Bawang Assan begitu luas, meliputi Batang Rajang, Batang Igan, dan Pasai Siong.

Terdapat lebih  daripada 100 rumah panjang Iban, dan banyak kawasan kediaman Cina. Berkempen di kawasan seluas Bawang Assan memerlukan stamina, masa dan sumber.

Tindakan mantan setiausaha politik ketua menteri itu bertanding sebagai calon Bebas membuktikan beliau kecewa dengan sesuatu, dan mungkin juga terhadap calon langsung Barisan Nasional itu.

Atau Watson mempunyai agenda tersembunyi  dan misi khas untuk mengebumikan kerjaya politik Wong di kawasan berkenaan supaya UPP kehilangan arah selepas hari pengundian?

Kerusi itu merupakan satu daripada lima kerusi yang menyaksikan pertandingan lima penjuru dalam pilihan raya  7 Mei ini.

Wong ditentang hebat oleh Watson, Stanley Chiew (DAP), Wong Sing Wei (Star), dan Yeu Bang keng (Bebas). Bagi Wong, tentangan utama pada  Sabtu ini adalah daripada DAP, bukannya Watson meskipun mengakui bahawa beliau tidak memperkecil keupayaan Watson.

Pertempuran sebenar dijangka antara Wong, Stanley dan Watson.

Wong tertekan dan kecewa kerana tindakan pemimpin PBB peringkat akar umbi yang berdiri di belakang Watson, dan memberi sokongan terbuka kepada beliau, serta berkempen di  rumah panjang di kawasan terbabit.

Bertindak balas terhadap langkah diambil mantan setiausaha politik ketua menteri itu, yang membawa beberapa  orang pemimpin akar umbi untuk berkempen di kawasan itu, Wong memberitahu media Rabu, bahwa beliau telah mengemukakan aduan rasmi kepada PBB berkaitan perkara itu.

Antara isu yang menghantui Wong kali ini ialah janji  pilihan raya lalu yang belum dikotakan, Tanah Adat Bumiputera (NCR),  dan beberapa batang jalan raya termasuk  di kawasan Pasai yang belum dinaik taraf.

Malah, beberapa kawasan luar bandar belum lagi menikmati bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya. – Sarawakvoice.com