Friday, September 30, 2022

Fadillah syukur DUN Semop dimasuki bantuan musim pilihan raya

Secara Rawak

SEMOP: Sepanjang berkempen hampir sembilan hari, calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Fadillah Sabali untuk DUN N.42 Semop merasakan sambutan luar biasa daripada penduduk telah memberi motivasi yang tinggi untuk beliau berkhidmat.

Setelah beliau sendiri bersama jentera parti merayu undi dengan berjalan kaki, meredah denai, merentas hutan, menaiki motosikal, mengharungi sungai dengan perahu dan bot dari kampung ke kampung, dari desa ke rumah panjang – beliau sudah merasakan
sokongan awal dari segi moral…

Menang atau kalah dalam pertandingan merebut kerusi DUN khususnya semasa pilihan raya adalah adat bertanding.

Akan tetapi apabila kawasan DUN Semop didatangi bantuan kilat dengan adanya “perlawanan” di kerusi ini pada pilihan raya kali ini, ia mendatangkan rasa lega dan syukur buat Fadillah.

Tinjauan jentera kempen mendapati, pihak berkenaan telah menurap sebahagian jalan di Semop dalam tiga hari.

Orang sakit juga yang pernah diziarahi oleh calon AMANAH sebelum ini, segera diziarahi oleh pihak berkenaan untuk dibawa ke hospital Daro.

“Pertandingan ini membawa hikmah untuk pengundi di DUN Semop.”

Bantuan ini seharusnya masuk sebelum tiba waktu ini, kerana ia adalah keperluan yang diharapkan oleh penduduk sekian lama, ujar Fadillah.

Tanpa mengulas lebih lanjut, Fadillah mengatakan semua ini merupakan hikmah dan kebaikan untuk pengundi di DUN Semop.

“Jadi bayangkan, kalau suara pembangkang kuat dan bebas, tentulah pemimpin sedia ada tidak berbuat sesuka hati kepada penduduk, bahkan sentiasa sedia menunaikan janji manis mereka lima tahun lalu.”

“Mudah-mudahan bantuan dan keprihatinan seperti ini untuk penduduk DUN SEMOP akan ‘selaju’ dan ‘sepantas’ ini selepas pilihan raya kelak!” tambah Fadillah.

Bagi Fadillah, kekuatan suara undi kepada pembangkang mampu mengimbangi perhatian pemimpin. Bahkan, pemimpin seharusnya sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira waktu demam pilihan raya sahaja.

Bercakap tentang pengundian yang adil dan telus, Fadillah mengatakan bagi pengundi luar bandar yang kurang mempunyai akses maklumat, mereka seharusnya tidak dijadikan sebagai mangsa ugutan semasa kempen atau semasa mengundi oleh pihak tertentu.

“Mereka yang memilih pembangkang misalnya, seharusnya tidak menjadi mangsa diskriminasi kerana mereka berhak menyokong sesiapa sahaja sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara.

“Kita perlu mencontohi negara maju dari segi kematangan berpolitik. Ketika musim pilihan raya, masing-masing berusaha membuat tawaran terbaik mengikut parti masing-masing untuk kebaikan rakyat.

“Namun , selepas keputusan diumumkan, pihak yang kalah bersedia bekerjasama dengan pihak yang menang demi memastikan rakyat mendapat faedah terbaik.”

Rakyat Sarawak berhak menikmati pembangunan dan kemudahan prasarana
yang sempurna.

“Sekarang sudah 2016, sepatutnya kita semua berhak merasai pembangunan
yang lebih baik.

“Sepatutnya anak-anak kita berhak mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Sepatutnya kita semua mampu merasai nikmat keperluan asasi yang sempurna,” Kata Fadillah dan berharap pengundi DUN Semop bijak menggunakan kuasa memilih mereka pada hari mengundi, Sabtu ini.

Fadillah mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi Semop dan seluruh Sarawak.

“Undi Meh AMANAH!” Pemimpin AMANAH berani membuat perubahan demi rakyat. “Dan undi anda adalah rahsia.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru