Sunday, January 23, 2022

Demam Adenan jangkiti kawasan DAP

Secara Rawak

Hanya tinggal dua hari sahaja lagi 1.13 juta pengundi akan turun mengundi. Banyak persoalan berlegar di fikiran rakyat Sarawak dan pengundi.

Mampukah populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem diterjemahkan ke dalam bentuk undi? Adakah DAP dapat mempertahankan 12 kerusi majoriti Cina di bandar?

Mengapakah DAP  menampilkan banyak calon di kawasan Dayak?

Adakah strategi calon langsung Barisan Nasional (BN) mengena  atau lebih banyak menimbulkan masalah kepada parti komponen BN?

Untuk menjawab persoalan tersebut, wartawan kanan SarawakVoice, Joseph Hanie telah menemu bual penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Joseph Hanie: Pilihan Raya  Negeri Sarawak akan diadakan Sabtu ini dan Barisan Nasional (BN)  atas kertas semakin kuat di bawah kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem. Komen Dr.

jeniri amirDr Jeniri Amir: Sejak Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak sekitar dua tahun lalu, beliau telah membawa banyak transformasi bagi menyelesaikan masalah rakyat, dan seterusnya mensejahterakan kehidupan mereka.

Sebanyak 53 prinsip dan keputusan dalam pelbagai bidang menguntungkan semua etnik di bandar dan luar bandar telah berjaya dilaksanakan. Semua itu, memberi kesan terhadap tanggapan rakyat terhadap kerajaan.

Pendekatan nasionalisme negeri dan tuntutan autonomi juga menyebabkan kepemimpinan Adenan disenangi.

Aura Adenan mengubah segalanya. Beliau dilihat sebagai pemimpin yang berani, tegas, jujur dan komited untuk meletakkan Sarawak ke hadapan dari segi maruah, pembangunan, ekonomi, dan seumpamanya.

Gaya kepemimpinan beliau disenangi. Kini pun kita perhatikan populariti  beliau banyak digunakan dalam strategi kempen, komunikasi dan pemasaran politik.

Papan iklan dan kain rentang menggunakan slogan Demam Adenan. Keputusan utama daripada 53 keputusan  dan prinsip yang dilaksanakannya dipaparkan di papan iklan di lokasi strategik.

Mengikut kajian yang kami jalankan pada Oktober tahun lalu, tidak dinafikan, personaliti, kepemimpinan dan tindakan Ketua Menteri mendapat reaksi positif daripada 2.7 juta penduduk Sarawak. Malah, populariti Adenan berada di paras 85 peratus.

Persoalannya, adakah semua itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan raya nanti? Mungkinkah 1.13 juta pengundi terpengaruh dengan personaliti dan transformasi beliau?

Adakah Dr yakin isu calon langsung BN dapat merupakan strategi yang berkesan dengan tidak ada sabotaj sesama parti komponen?

Soalan ini menarik, kerana inilah antara isu yang jika tidak diselesaikan sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi BN nanti.

Pertelagahan kerusi antara parti komponen seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan parti serpihan Parti Rakyat Bersatu (UPP), serta antara Parti Progresif  Demokratif Sarawak (SPDP) dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Saya percaya Adenan sedar akan risiko yang bakal dihadapi BN jika isu sabotaj berlaku. Apabila sabotaj berlaku, undi yang sepatutnya diperoleh BN akan pecah.

BN tidak boleh menjerumuskan dirinya dalam kancah merugikan itu. Risikonya terlalu besar ketika ia mahu menawan kembali kerusi majoriti Cina terutamanya daripada DAP.

Dalam pilihan raya lalu, DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi, dan Bebas satu kerusi.

Sejauh manakah pelbagai isu yang melanda BN  dapat menjejaskan kekuatan kerajaan Sarawak?

Bagi saya petunjuk prestasi utama dan penanda aras kemenangan bagi Ketua Menteri adalah merampas balik sekurang-kurangnya empat kerusi Cina. Namun, tugas ini bukan mudah, lebih-lebih lagi majoriti undi yang dimenangi  DAP dan PKR lima tahun lalu adalah agak besar, kecuali di kerusi Dudong, Ba Kelalan, dan Batu Kawa.  

Seyogia diingat, ada beberapa kawasan BN juga menang dengan majoriti kecil, misalnya Senadin hanya menang dengan 58 undi. BN juga berisiko di Bawang Assan apabila Datuk Sri Wong Soon Koh, calon langsung BN bukan sahaja ditentang DAP tetapi juga calon Bebas, Watson Bangau, ketua PBB Bawang Assan. Beliau telah dipecat  PBB kerana tindakannya itu.

Persoalan sekarang, adakah pengundi Cina terpengaruh dengan peruntukan RM12 juta kesemuanya dalam tempoh tiga tahun kepada sekolah persendirian Cina, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tidak memanggil Cina pendatang, maka akan berlaku tsunami Cina ke arah BN? Atau pengundi Cina mahu semak dan imbang di DUN Sarawak?

Dalam pilihan raya ke-11 ini, PAS, Parti Amanah Negara, Star, PBDS Baru, PAS, serta calon Bebas, saya jangka akan kecundang, dan tidak akan mendapat sebarang kerusi.

Yang ada harapan untuk mengekalkan sebahagian kerusi yang kini dalam genggaman mereka hanya DAP dan PKR.

Sekiranya kerajaan sekarang menang, adakah ini bermakna ia banyak bergantung kepada populariti Adenan?

Tidak dinafikan Adenan telah memperkenalkan banyak keputusan dan dasar pembaharuan yang menguntungkan rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum serta kawasan. Gaya bersahaja beliau, termasuk ketika mendekati rakyat dan menyampaikan ucapan, menyebabkan beliau disenangi rakyat. Adenan yang sekarang, bukan Adenan yang dahulu, setidak-tidaknya dari segi persepsi.

Beliau ditanggapi memiliki sentuhan kerakyatan dan kemanusiaan yang ampuh. Adenan tidak boleh dan tidak mungkin lebih teruk daripada zaman kepemimpinan Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Adenan perlu lakukan pembaharuan dan perubahan jika beliau mahu diterima rakyat, dan melonjakkan Sarawak ke hadapan. Sarawak tidak boleh terperangkap dalam dasar yang hanya dilihat menguntungkan pemimpin, tetapi merugikan rakyat.

Dari segi itu, tugas Adenan lebih mudah, apatah lagi jika beliau cuba memperbetulkan kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan Taib, dari segi dasar dan keputusan. Misalnya, dari segi tindakan tegas beliau mengambil tindakan terhadap pembalakan haram sehingga kerajaan negeri kerugian berbilion ringgit dalam tempoh 40 tahun lalu?  

Dengan langkah drastik Adenan, 36 kilang berkenaan telah ditutup. Adakah pemimpin sebelum ini tidak sedar akan kebejatan yang berlaku dalam isu pembalakan? Kita perlu bersikap objektif. Adenan merupakan satu faktor, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN nanti, termasuk dari segi kemampuan BN membawa pembangunan, kekuatan jentera akar umbi, sikap pengundi yang masih lagi yakin terhadap keupayaan BN, pengaruh media dan komunikasi politik BN yang efektif, dan banyaki lagi.

DAP bercita-cita besar pada PRN kali ini dengan meletakkan calon di 31 kawasan termasuk di kawasan Dayak. Apakah yang menyebabkan mereka begitu yakin sehingga meletakkan calon di kawasan berkenaan?

DAP telah mencapai kemuncaknya dalam pilihan raya 2011 apabila sentimen pengundi Cina, rata-rata tidak menyokong BN, atas beberapa sebab.

Secara ringkasnya, disebabkan kepemimpinan Tun Abdul Taib Mahmud yang sudah terlalu lama, dan menjadi beban kepada BN, persepsi kepemimpinan yang dianggap terjebak dalam salah guna kuasa, nepotisme dan sebagainya, isu kelemahan kepemimpinan SUPP, ekonomi, dan sebagainya lagi.

Ketika itu DAP menguasai 44.91 peratus daripada 300,288 keseluruhan undi dimenangi pembangkang, ketika SUPP hanya menguasai 30.02 peratus undi daripada 372,379 undi keseluruhan dikuasai BN dalam pilihan raya berkenaan.

Malah, sokongan terhadap BN dalam kalangan pengundi Cina pada pilihan raya negeri telah menjunam sebanyak 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Apakah yang menyebabkan DAP begitu yakin untuk meletakkan calon di kawasan Bumiputera? Sebenarnya bukan soal yakin. DAP sudah tidak punya pilihan jika ia mahu menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak, yang akan mempunyai 82 kerusi kesemuannya selepas proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DAP telah mencapai kemuncak di kawasan majoriti Cina di bandar.

Implikiasnya, parti itu tidak akan lagi dapat menambah kerusi dengan banyaknya di bandar, kecuali satu dua, misalnya di Senadin.

Justeru, DAP perlu menerokai kawasan separa bandar dan bandar, apalagi DAP menyedari dalam pilihan raya lalu, trend dan pola pengundian pengundi Bumiputera, kecuali dalam kalangan Melayu dan Melanau, telah berkurangan terhadap BN.

Kali ini DAP meningkatkan jumlah kerusinya daripada 15 kerusi pada 2011 kepada 31 kerusi. DAP bertanding di 14 kerusi majoriti Cina, 16 kerusi majoriti Dayak, dan satu kerusi majoriti Melayu.

Tetapi saya fikir, trend atau pola pengundian seperti pada 2011  tidak akan berterusan kali ini. Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya pola pengundian menurun dalam kalangan Bumiputera, termasuk Iban dan Bidayuh.

Itulah sebabnya DAP melancarkan program Impian Sarawak dalam usahanya untuk mendapatkan undi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tetapi jalan bagi DAP ke arah itu adalah masih panjang dan berliku kerana pengundi luar bandar pada amnya, masih lagi yakin kepada BN untuk membela nasib dan masa depan mereka.  Tahap celik politik yang tidak begitu tinggi, turut menjadi penyebab. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru