BETONG: Menyedari ada calon yang bermasalah  daripada 82 calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon 25 April lalu, Ketua Menteri mahu 1.13 juta pengundi pada 7 Mei ini, mengetepikan kelemahan calon terbabit.

Difahamkan antara calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  yang tidak begitu diterima pengundi termasuk calon penyandang dan calon muka baharu seperti di Balingian, Lingga, Kabong , dan Layar.

Disebabkan rasa tidak puas hati pengundi, kerana janji yang tidak dikotakan, tidak mempedulikan permintaan rakyat, termasuk dari segi projek, gagal menyelesaikan masalah rakyat, dan sebagainya, maka pengundi di akar umbi menunjukkan protes mereka.

Di Kabong bendera BN telah diterbalikkan, dan surat layang disebarkan.

Lingga dikategorikan antara 22 kerusi hitam oleh banyak pihak.

Bagi calon muka baharu, mereka berpendapat calon terbabit tidak mempunyai akar umbi yang kuat, dan tidak disenangi kerana isu peribadi membabitkan calon berkenaan.

Dijangka kawasan berkenaan akan menyaksikan undi protes dalam kalangan pengundi Sabtu ini.

Adenan mahu pengundi memberi pertimbangan wajar dengan mengambil kira keupayaan BN untuk membawa pembangunan ke kawasan terbabit, dan bukannya menilai personaliti dan peribadi calon.

Beliau mengakui tidak mungkin bagi beliau mencari calon serba  sempurna dari semua segi.

Katanya: “Jika mahu letak calon yang serba-serbi sempurna, lebih baik kita letakkan malaikat saja untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.”

Bagi pengundi pula, mereka bukan mahu mencari malaikat, kerana sesungguhnya memang tidak mungkin mencari malaikat daripada kalangan manusia.

Hakikatnya, mereka berhak untuk mendapat calon terbaik daripada pilihan BN, kerana mereka yang menanggung kesannya selama lima tahun kalau wakil rakyat berkenaan tidak prihatin terhadap kebajikan dan aspirasi mereka.

Pengerusi BN itu bagai mempertahankan kelemahan beberapa calon yang memang lemah dan tidak diterima rakyat.

Semoi Peri bagi Adenan perlu disokong kerana mengundi calon wanita PBB itu adalah bagai mengundi beliau juga kerana Semoi termasuk dalam Pasukan Adenan.

Dalam pilihan raya ini, Adenan memanfaatkan popularitinya untuk menambat hati pengundi.

Segala slogan dan bahan kempen  menggunakan Adenan sebagai watak utama.

“Pengundi perlu sokong Semoi sebagai bukti sokong saya. Saya tidak boleh tubuh kerajaan negeri tanpa ahli yang dilantik membentuk pasukan Adenan,” tambahnya.

Semoi dijangka berdepan tentangan paling sengit dalam sejarah politiknya.

Beliau ditentang Abang Zulkifli Abang Engkeh, 55, daripada PKR, dan juga Dato Wan Abdullah Edruce (Bebas).

Kerusi berkenaan ialah kawasan majoriti Melayu, dengan 8,988 pengundi.

Pada 2011, Semoi meraih 2,506 undi majoriti.

Kalaupun menang kali ini, beliau dijangka meraih majoriti undi yang terhakis.

Antara isu yang menghantui  Semoi di kawasan itu ialah janji yang tidak ditunaikan, isu NCR, geran wakil rakyat, tandas awam, Jalan Lingga-Sebuyau, sistem perparitan tidak teratur, tekanan air rendah, pembangunan yang perlahan, dan konflik dalam parti. – Sarawakvoice.com