KAPIT: Calon pembangkang khasnya DAP berdepan laluan sukar di Bukit Goram dalam percubaannya untuk menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) Jefferson Jamit.

Namun, pemerhati mengingatkan, jangan sampai BN ‘manjong di pala wong’.

bukit goram_0000

Maknanya jangan cepat mendabik dada walaupun tidak dinafikan BN boleh menang kerana faktor logistik dan kewangan yang kukuh untuk menggerakkan jentera parti.

Bukit Goram yang menjadi rebutan antara Parti Rakyat Sarawak (PRS) akhirnya diserahkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kerana jumlah ahlinya sekitar 5,000 orang di kawasan terbabit.

Kerusi berkenaan merupakan antara 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu.

Jefferson ditentang calon DAP, Larry Asap selepas Larry Sng, presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) meletakkan jawatan dan enggan menentang Jefferson walaupun berkali-kali sebelumnya beliau mengeluarkan kenyataan akan bertanding di kawasan itu, dan menyatakan keyakinannya untuk menang.

Bukit Goram mempunyai 11,510 pengundi; 78 peratus pengundi Iban, 19 peratus pengundi Cina, dan selebihnya pengundi Melayu.

Menurut sumber, terdapat halangan daripada penduduk di kampung Cina dan Melayu, malah poster dan kain rentang DAP tidak dibenarkan dipasang di dalam kawasan kampung terbabit.

bukit goram_0001

“Di perkampungan tertentu ada yang berkawal sampai pagi bagi menghalang parti pembangkang berkempen dan melekat poster,” katanya.

Namun,  hasil temu bual dengan beberapa orang  pengundi perkara itu berlaku susulan perbuatan segelintir penyokong BN dan bukannya mencerminkan reaksi sebenar penduduk atau pengundi di kerusi berkenaan.

Beberapa orang informan yang turut sama berkempen ke rumah panjang, memberitahu “kurang tepat sekiranya ramai yang bertanggapan BN boleh menang selesa kerana kempen DAP juga mendapat sambutan yang agak baik di rumah panjang sekarang.”

Berkaitan isu, daripada ceramah yang diikuti isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan perlahannya pelaksanaan projek kemudahan di Kapit turut mendapat perhatian daripada penduduk rumah panjang.

Jalan raya Sibu/Kapit yang tidak siap-siap setelah lima tahun juga menjadi isu yang menarik perhatian pengundi.

Malah,  katanya, kedatangan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang ke Kapit disambut dengan upacara miring bagi mencerminkan kedatangannya diterima baik oleh penduduk rumah panjang.

Personaliti Jefferson yang tidak memiliki kepetahan berucap boleh mengurangkan majoriti undi, kerana bagi pengundi di rumah panjang, keberkesanan dalam penyampaian dari segi pengucapan awam amat penting.

Namun, DAP dijangka memberi tentangan sengit dan dijangka tidak akan hilang wang pertaruhan. – Sarawakvoice.com