BINTULU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem semalam menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan strategi politik Pakatan Harapan yang kononnya akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika mereka memerintah.

“Jangan termakan ‘bulak’ pembangkang. Sik sidak dapat mansuhkan GST. Di Pulau Pinang dan di Selangor pun sidak sik dapat mansuh GST, walaupun sidak memerintah di sia,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Warga Industri di Tanjong Kidurong di sini, semalam.

Menurutnya, isu pemansuhan GST oleh pembangkang itu umpama dongeng di siang hari memandangkan peluang untuk mereka menang pada 7 Mei kelak agak tipis.

“Mustahil sidak dapat molah ya (mansuh GST). Maknanya, DAP dan PKR cuba berbulak dan mengeksploitasi isu GST.

“Saya nampak banyak banner di sepanjang jeraya yang madah DAP  dengan PKR mauk mansuh GST jika berkuasa di Sarawak.

Beberapa calon BN turut hadir pada majlis tersebut seperti calon Dun Jepak, Datuk Talib Zulpilip, Datuk John Sikie Tayai (Dun Kakus), Datuk Pau Chiong Ung (Dun Tanjung Datu) dan Majang Renggi (Dun Samalaju).

Menambah lanjut, isu GST kata Pengerusi BN Sarawak itu, sengaja dimomokkan pembangkang untuk meraih undi tanpa mengambil berat dan menyembunyikan beberapa isu sebenar yang begitu penting kepada rakyat di negeri ini.

“Mereka lupa, GST tidak relevan digunakan untuk berkempen memburukkan dan menjatuhkan BN negeri kerana GST bukan ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Rakyat kata Adenan, perlu berfikiran positif terhadap GST.

“GST adalah sistem percukaian yang baik, yang diguna pakai beberapa negara dunia.

“Sejak ia dilaksanakan, beberapa cukai korporat dan individu telah dikurangkan bagi menangani bebanan GST.

Pada majlis yang sama, Adenan turut menepis tuduhan bahawa beliau masih dibayangi olen bekas bosnya, Tun Abdul Taib Mahmud dalam menjalankan urusan mentadbir negeri.

“Saya merupakan Ketua Menteri sekarang dan saya tidak terikat dengan Taib. Malah Taib berkata, segala keputusan membabitkan urusan negeri adalah di tangan saya, dan inilah hakikat sebenar ketika ini,” tegasnya.

Isu ini tersebar kerana ia pernah menjadi modal utama parti pembangkang pada pilihan raya lalu hingga berjaya menawan beberapa kerusi, terutama di kawasan Cina.

Pada  majlis itu, seramai 56 penduduk di Bahagian Bintulu menerima warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri di Bawah Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baru dan Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri untuk tujuan rumah kediaman. – Sarawakvoice.com