Saturday, December 3, 2022

Calon PKR Jepak: Nelayan Bintulu diperhamba, diperah peraih

Secara Rawak

BINTULU:  Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)  Jepak,  Abdul Jalil Bujang berkata, golongan nelayan adalah  antara golongan penting dan yang perlu diberi perhatian, khususnya di Kuala Tatau, Jepak.  

Menurut beliau, sudah berdekad-dekad mereka diabaikan – tidak mendapat bimbingan dan pembelaan.  

“Mereka diperah oleh peraih yang membeli hasil tangkapan laut dengan harga yang sangat rendah berbanding harga pasaran yang melebihi tiga kali ganda.  

Peraih menetapkan harga dan memberi syarat supaya segala hasil tangkapan hanya dijual kepada peraih. Bahkan, para nelayan terpaksa membeli ikan di pasar untuk mendapatkan ikan,” katanya.  

Tambahnya, jika didapati para nelayan menjual ikan-ikan tangkapan kepada orang lain, kapal dan lesen serta segala peralatan yang dipinjamkan oleh peraih akan dirampas.   

Purata pendapatan nelayan di Kuala Tatau hanyalah antara RM600-800 sebulan.

Pemilikan kapal-kapal yang asalnya dimiliki oleh para nelayan telah berpindah milik apabila para nelayan tidak mampu untuk membaiki atau menyelenggarakan kapal-kapal mereka.

“Ramai nelayan Jepak yang dinafikan bantuan yang diperlukan sehingga mereka hidup dalam cengkaman peraih, yang menjadikan mereka seperti hamba,” tambahnya.  

“Para nelayan harus bangkit menuntut kebebasan dan keadilan bagi mempertahankan hak mereka serta berdaya untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan dan menentang penindasan,” katanya.  

Calon PKR itu menyeru para nelayan untuk membuat perubahan dalam pilihan raya ke-11 Sarawak  dengan memilih beliau wakil rakyat mereka di N.67 Jepak.

Abdul Jalil berkata: “Saya akan membawa suara mereka, membawa perubahan terhadap kehidupan mereka dan bersama dalam memperjuangkan keadilan dan hak terhadap nelayan.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru