Saturday, December 3, 2022

72 peratus keluar undi awal, hampir separuh pemilih Dun Stakan telah laksanakan tanggungjawab

Secara Rawak

KUCHING : Biarpun menjangkakan peratus keluar mengundi mampu mencapai 75 peratus, sasaran terhadap pengundi awal itu meleset apabila hanya 72 peratus daripada pemilih itu menunaikan tanggungjawab mereka.

Jangkaan awal itu dibuat sekitar jam 10.45 pagi semalam oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berikutan keadaan cuaca yang baik dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemilih sebelum itu.

“Ramai pemilih terpaksa membawa anak ke pusat pengundian kerana tidak dapat meninggalkan anak mereka di rumah, memandangkan hari ini hari bekerja. Malah bayi berusia satu minggu pun telah dibawa mengundi,” katanya ketika ditemui media semalam.

Berdasarkan maklumat yang disahkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datu Takun Sunggah, peratusan ini direkodkan pada jam 5 petang semalam selepas kesemua pusat pengundian awal ditutup secara rasmi.

Sebanyak 33 pusat mengundi awal ditutup jam 2 petang manakala 46 pusat lagi ditutup pada jam 5 petang.

Berdasarkan daftar pemilih 2015 yang dikemaskinikan sebelum penetapan tarikh pilihan raya, sebanyak  24,604 pengundi awal yang terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka  layak melakukan pengundian awal di beberapa lokasi yang ditetapkan di seluruh negeri.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, daripada jumlah tersebut, 9,099 merupakan pegawai dan anggota polis manakala selebihnya pegawai dan anggota tentera.

Panglima Medan Pemerintahan Timur Tentera Darat, Datuk Mohd Zaki Mokhtar pula berkata, antara kem tentera yang terbesar yang melaksanakan proses demokrasi ini ialah Kem Penrissen di sini dengan Pusat Pengundian Dewan Bukavu sahaja menempatkan 3,782 pemilih, selain Kem Muara Tuang dan Kem Oya di Sibu.

Proses ini katanya, turut melibatkan anggota yang telah berpindah ke penempatan baharu dan bersara tetapi belum menukar pusat memgundi mereka.

“Bagi yang berada di kawasan operasi, mereka boleh menjayakannya dengan undi pos, seperti yang saya lakukan pada PRU lalu di Kem Tanduo, Sabah,” jelasnya yang menjadi pengundi paling awal di Kem Muara Tuang semalam.

Dengan pelaksanaan proses tersebut semalam, separuh daripada pengundi di Dun Stakan dekat sini telah melaksanakan tanggungjawab mereka. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru