Tumbukan maut Ali Biju boleh tumbangkan Kilat Beriak di Krian

0
25

SARATOK: Perkhabaran tentang pembinaan jambatan bagi menyeberangi Sungai Krian mungkin menjadi ‘lintasan keramat’ bagi Kilat Beriak, calon Barisan Nasional (BN) untuk Dun.39 Krian daripada tenggelam dalam perebutan kerusi panas di kawasan berkenaan 7 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Patinggi Najib dalam Program Kunjungan Mesra ke Saratok membuat pengumuman dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk pembinaan jambatan yang dimaksudkan.

Laluan Kilat dalam usaha merampas kerusi N.39 Krian dilihat amat sukar dan berliku berikutan cengkaman yang amat kuat daripada pemilik kerusi tersebut pada masa kini.

Di Dun Krian, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju penyandang kerusi itu dilihat sebagai ‘petinju’ yang mempunyai tumbukan maut untuk menumbangkan sesiapa sahaja lawan lebih-lebih lagi calon baharu seperti Kilat yang baru pertama kali turun gelanggang.

Dalam PRN Ke-10 yang lalu, ADUN BN Datuk Peter Nyarok Enterie tersungkur gara-gara penangan Ali yang walaupun tampak kecil tapi amat berbisa.

Rekod bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-10, 2011 menyaksikan Ali Biju (PKR) memenangi kerusi Dun Krian dengan majoriti 2,090 undi mengalahkan Liman Sujang (SNAP), Datuk Peter Nyarok Entri (BN) dan Banyi Beriak (Bebas).

13087503_10153484838410952_4258465419494752930_n

Dalam PRN Ke-11, kali ini, BN yang mempertaruhkan Kilat calon SPDP, dilihat pemerhati politik di kawasan itu sebagai satu perjudian nasib yang disifatkan sebagai misi besar yang diibaratkan seperti ‘mendaki pokok nibung’ .

Kilat sendiri yang masih meneliti kompas laluan di Krian belum dapat menyatakan dengan pasti kejayaan misinya dalam melalui gelora di Krian yang begitu berisko.

Ali dalam kempennya sebelum ini menjadikan isu pembangunan yang lembab di Kawasan Krian sebagai modal untuk meraih undi.

Dan dalam kempen terbaharu Ali, beliau berpegang kepada isu yang sama kerana tidak banyak yang berubah di kawasan itu sehingga kini.

Lantas kunjungan Najib bersama hamburan khabar gembira diharap mampu menakluk semula hati pengikut tegar Ali Biju untuk bertukar arah dalam Pilihan Raya kali ini.

Kunjungan Najib di Saratok semalam menyaksikan sekitar 2,000 orang hadir dalam program ringkas yang berlangsung di Dataran Jam Pekan Saratok.

Calon Dun Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz dan calon Krian, Kilat Beriak hadir sama dalam program tersebut. – Sarawakvoice.com