Salahuddin Ayub: Amanah bukan hendak uji populariti

0
9

Temu ramah bersama Salahuddin Ayub, Pengarah Jawatankuasa Induk AMANAH PRN Sarawak merangkap Timbalan Presiden AMANAH.

pc amanah kch

Apakah tujuan AMANAH meletakkan 13 calon mengatasi PAS hanya 11 calon? Ada pihak berpendapat AMANAH mencari penanda aras tentang siapa lebih popular dalam PRU ini…

AMANAH ialah parti politik yang baru ditubuhkan. Menjadi tanggungjawab AMANAH menyertai mana-mana pilihan raya di negara kita ini. Secara kebetulan, walaupun masih berumur dalam lingkungan tujuh bulan, berlangsungnya PRU Sarawak menjadi peluang terbaik bagi AMANAH memposisikan kedudukannya khususnya di persada politik Sarawak.

Ini penting dalam misi jangka pendek dan jangka panjang agar AMANAH dapat diperkenalkan. Tujuannya agar kita dapat membawa bersama misi dan visi serta hasrat orang Sarawak yang masih memerlukan suara untuk diperjuangkan dalam DUN Sarawak.

Kita meletakkan 13 calon yang merupakan anak kelahiran Sarawak sendiri yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama dan pendidikan serta berkebolehan dan berkeupayaan memenuhi tanggungjawab memperjuangkan hak orang Sarawak dalam PRU kali ini.

Oleh itu, tidak timbul isu kita mahu menguji populariti. Jika tiada PAS sekalipun, kita tetap akan masuk menyertai pilihan raya. Ia bukan kerana desakan daripada sesiapa atau parti mana.

Apakah yang memomentumkan semangat AMANAH untuk bertanding di 13 kerusi kuat PBB? Sedangkan pada masa yang sama AMANAH merupakan parti baru.

AMANAH dari segi umurnya memang muda dan baru, tetapi pemimpinnya terdiri daripada orang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik tanah air.

Pemimpinnya telah lama dikenali dan kita sangat yakin dan percaya bahawa berbekalkan pengalaman yang ada daripada pemimpin AMANAH yang dikenali, kita tidak rasa terganggu atau terasing untuk melakukan sesuatu yang penting dalam dunia politik khususnya apabila kita menyambut cabaran bertanding dalam PRU Sarawak kali ini. Pada saya, momentum yang ditunjukkan oleh rakyat juga sangat bertepatan dengan semangat AMANAH itu sendiri yang kita rasakan memang rakyat Sarawak dahagakan tokoh parti politik yang dapat memperjuangkan nasib mereka.

Penganalisis berpendapat peluang AMANAH untuk menang adalah tipis lebih-lebih lagi apabila bertanding di kubu kuat PBB. Sekiranya kalah dalam PRU kali ini, apakah yang hal yang boleh menggembirakan tuan selaku Pengarah PRN Sarawak kali ini?

pc amanah kch2
Salahuddin Ayub

Tidak ada mana-mana parti politik di dunia ini yang boleh mengaku ia akan bertahan lama. Di luar negara banyak parti lama seperti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat saling bertukar ganti memerintah. Di UK, Parti Konservatif dengan Parti Buruh juga sentiasa bertukar ganti memerintah. Parti Kongres di India, ada masa mereka dikalahkan. LDP di Jepun juga boleh jatuh. UMNO di Semenanjung sedang menghadapi zaman kemerosotan. Jadi, di Sarawak kita tidak perlu gentar menghadapi PBB. Bagi saya, politik adalah “the art of possible”. Mana-mana parti yang konsisten dari segi perjuangan, yang tidak penat dan lelah dalam mengharungi cabaran perjuangan, pasti akan berjaya.

Bagi saya dan AMANAH, kita rasa terhormat apabila kita boleh berada di bumi Sarawak dengan usia yang baru dan dengan lambang yang baru dikenali. Akan tetapi dari segi sambutan setelah beberapa bulan kita turun ke bawah dan semasa menempuh kempen fasa satu dalam masa seminggu, kita dapat melihat peringkat akar umbi, rakyat dapat menerima AMANAH. Ini sudah cukup baik bagi sesebuah parti politik itu berkembang dan bernafas untuk waktu yang panjang. Menang atau kalah, itu memang adat pertandingan.

Namun, tidak semestinya kalau kita kalah, kita harus menguburkan parti ini. Jadi bagi saya, AMANAH parti yang baru, dan kita perlu melihat ke masa hadapan yang lebih cemerlang. Yang penting bagi saya, bagaimana kita dapat mengambil peluang ini agar rakyat dapat mengenali kita dan kita dapat memposisikan kedudukan kita di Sarawak ini.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa AMANAH tiada manifesto? Dan kenapa mengemukakan 7 Tawaran AMANAH Untuk Rakyat Sarawak dalam PRU kali ini?

Kita parti yang baru. Sebanyak 13 kerusi berbanding 82 kerusi yang dipertandingkan. Jadi, kita harus berdiri atas realiti kita sendiri. Hanya 13 kerusi kita bertanding, jadi kita harus realistik, sebab itu kita memilih untuk menyatakan pada rakyat tentang 7 Tawaran AMANAH antaranya kita perlu menjadi pembangkang yang kuat.

Kita tidak mahu bercakap besar, seperti mahu memerintah Sarawak sebagai contoh. Itu baru perlu manifesto yang menyeluruh, yang menggambarkan kita mampu membentuk kerajaan.  Apabila kita menawarkan mahu menjadi pembangkang yang kuat, maka 13 kerusi itu boleh menggambarkan komitmen kita. Rakyat percaya kita memang memahami realiti itu.

Jadi, yang penting bagi saya ialah kita mohon dengan rakyat dapatkan mandat itu untuk kepentingan mereka. Dengan 13 kerusi bersama rakan lain dalam PH iaitu DAP dan PKR, kita mampu menjadi suara yang kuat dalam DUN Sarawak demi memperjuangkan hak rakyat Sarawak, itu paling penting bagi saya.

Antara 7 Tawaran lain ialah berkaitan perjuangan tanah adat sebagai contoh. Perlu suara yang kuat dari Sarawak dalam menetang GST sebagai contoh. Kita perlu reformasi dari segi pentadbiran negeri supaya adanya “check and balance” yang memenuhi perkara penting dalam prinsip demokrasi, proses berimbang berterusan dalam kerajaan, “good governance” , itu boleh dilakukan dengan kita menjadi pembangkang yang kuat. Sebab itu kita pilih 7 yang terbaik dalam PRU pada kali ini.

Apakah strategi calon dalam mengemukakan 7 Tawaran AMANAH kepada pengundi dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi?

Kita akan menggunakan sepenuhnya media baru yang sentiasa kita pertingkatkan keupayaannya dalam beberapa hari terakhir ini. Calon-calon kita akan terus turun padang.

Kita menjangka bahawa 7 Tawaran AMANAH itu melalui kempen yang berkesan dan media baru yang sangat membantu yang boleh sampai kepada setiap tangan pemimpin melalui gajet yang canggih pada hari ini.

Saya rasa kita bakal mencipta satu kejutan dan kita mampu memberi makna dalam penyertaan kita pada pilihan raya ini.

Apakah cabaran sewaktu berkempen di Sarawak?

Saya rasa cabaran paling besar ialah bagaimana dapat memastikan penduduk peribumi Sarawak mendapat maklumat yang secukupnya. Itu memang satu perkara yang sangat besar cabarannya di samping faktor geografi yang luas, hutan rimba, kawasan pedalaman yang jauh, perjalanan yang memenatkan. Dan bagi AMANAH sendiri masalah kekurangan dana. Namun begitu, kita sudah memasuki tujuh hari pertama dan kita akan maju pada empat hari terakhir sebelum kita menunaikan tanggungjawab mengundi.

Setakat ini, bagaimana sambutan pengundi terhadap calon AMANAH?

Saya sudah mengikuti perkembangan PRU Sarawak, lima kali dalam usia politik saya. Namun, kali inilah saya melihat rakyat tempatan khususnya, sangat meraikan kehadiran kita. Dan AMANAH sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat tempatan.

Bagi saya, hal ini berlaku bukan sekadar di bandar atau pinggir bandar. Apabila saya ke Balingian, Daro, Semop, Kuala Rajang, ke Muara Tuang dan Beting Maro, kita lihat rakyat semakin mesra dengan parti alternatif khususnya AMANAH.

Saya rasa inilah satu anjakan yang berlaku, yang saya melihat memang rakyat Sarawak telah mesra dengan pembangkang. Mungkin mereka telah terlalu lama di bawah PBB atau BN yang dilihat gagal memenuhi keperluan hidup mereka, infrastruktur yang masih tidak sempurna dan juga isu seperti ketelusan dan juga penyelewengan yang mereka semakin sedar.

Maklumat yang sampai kepada mereka melalui media sosial seperti Sarawak Report, dan isu Persekutuan seperti isu Najib, isu 1MDB, hutang RM42 bilion, isu GST. Ini semua menjadikan rakyat Sarawak begitu sedar tentang peranan yang perlu mereka mainkan, yang harus mereka terjemahkan dalam PRU kali ini.

Mengakhiri perbualan, apakah harapan tuan?

Pada hari mengundi nanti, saya mengharapkan rakyat akan lebih berani menyuarakan sikap politik mereka. Penting bagi kita menjayakan misi pembangkang kali ini untuk kita menafikan majoriti dua pertiga BN dalam DUN Sarawak.

Ini penting untuk kita. – Sarawakvoice.com