Saturday, December 3, 2022

Pasukan keselamatan mengundi di tempat mereka berdaftar sebagai pengundi sah, walaupun asal Semenanjung – Ketua Polis Negara

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, mana-mana pegawai dan anggota keselamatan boleh mengundi di mana-mana sahaja mereka berdaftar secara rasmi sebagai pengundi.

“Saya bercakap dari perspektif polis. Selagi mereka berdaftar di mana-mana saluran dan pusat mengundi di Sarawak mereka layak mengundi,” katanya yang ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Gerakan Am Briged Batu Kawa di sini petang semalam.

Katanya, memang ada beberapa anggota polis yang dahulunya bertugas di Sarawak tetapi ditukarkan ke Semenanjung telah memohon supaya melaksanakan undi pos, namun ia tidak diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi polis akan membawa mereka balik ke Sarawak bagi membolehkan mereka menunaikan kewajipan kepada negara.

“Kita akan membenarkan mereka balik untuk membolehkan mereka mengundi di mana-mana tempat mereka berdaftar.

“Kerana jika dia berdaftar di mana-mana pusat mengundi di Sarawak dan kita tidak membenarkannya, itu sebenarnya adalah hak dia. Mana boleh kita tidak membenarkan dia mengundi di tempat yang dia berdaftar secara sah?

Oleh itu katanya, cadangan parti pembangkang itu tidak munasabah dan tidak akur kepada undang-undang Akta Pilihan Raya.

Khalid merujuk dakwaan pembangkang sebelum ini yang mempersoalkan para pemilih daripada pasukan keselamatan yang berasal dari Semenanjung tidak sepatutnya dibenarkan mengundi di Sarawak, memandangkan pilihan raya ini adalah pilihan raya untuk memilih kerajaan negeri dan bukannya pusat.

Mengulas tentang laporan kesalahan pilihan raya, Khalid berkata, pihaknya telah menerima 74 laporan polis setakat pagi semalam.

“Kita telah membuka 46 kertas siasatan. Bagaimanapun kertas-kertas siasatan ini tidak ada yang serius. Ia hanya melibatkan kes-kes ringan seperti menurunkan poster, bendera jatuh ke tanah…tidak ada yang menarik sangatlah. Jadi alhamdulillah…bagus.

Khalid berkata, pihaknya masih memantau keadaan kerana waktu kempen masih lagi berjalan.

Berhubung proses pengundian awal hari ini, Khalid berkata, beliau berharap ia berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden, aman damai dan sempurna.

“Pengundian awal ini semua melibatkan pasukan keselamatan sahaja jadi saya tidak menjangka sebarang masalah dan keadaan bermasalah,” tambahnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru