Sunday, September 25, 2022

DAP mengidam Bawang Assan

Secara Rawak

KUCHING: Satu daripada kerusi yang DAP benar-benar mengidam untuk menang ialah Bawang Assan yang ditandingi bekas presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Sri Wong Soon Koh.

Bagi DAP yang telah mencuba bertanding di kerusi itu untuk beberapa kali, ini merupakan kesempatan terbaik untuknya menguburkan kerjaya politik Wong.

Bagi DAP, kemenangan di kerusi yang mempunyai 18,340 pengundi, terdiri daripada Cina 55.1 peratus, Iban 38.8 peratus, Melayu/Melanau 5.3 peratus, dan lain-lain 0.8 peratus adalah sesuatu yang bermakna dan manis.

Kerusi itu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru, dengan Wong bakal ditentang Wong Sing Wei (Star), Chiew Sung Ngie (DAP), Watson Bangau ak Jonathan Renang (Bebas) dan Yeu Bang Keng (Bebas).

Tentangan sebenar adalah antara Wong yang bertindak sebagai calon langsung BN dan DAP meskipun tentangan daripada bekas pemimpin PBB Watson Bangau tidak boleh diperkecil.

Kehadiran Watson disifatkan boleh memecahkan undi Iban, yang dianggap dapat membantu calon DAP.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, jika DAP menang di Bawang Assan, ia akan menjadi bukti kukuh bagi menunjukkan rakyat Sarawak bersedia dengan Rancangan DAP Sarawak untuk menawan kerajaan negeri itu pada pilihan raya negeri lima tahun lagi.

“Perjalanan perjuangan politik DAP Sarawak untuk masyarakat yang lebih adil, saksama dan demokratik bukan sesuatu yang mudah, selama 38 tahun sejak DAP bertapak di Sarawak pada 1978,” katanya.

“Pada kali ini, mampukah DAP dan rakyat Sarawak melakar sejarah dan mencipta keajaiban untuk mempertahankan 12 DUN yang dimenangi pada pilihan raya yang lalu sambil menambah kemenangan di beberapa kerusi yang dikuasai kaum Dayak daripada kesemua 31 kerusi yang ditandingi DAP,” katanya.

Lim berkata jika dua objektif berkenaan berjaya di samping kemenangan di Bawang Assan oleh DAP, ia akan menjadi wadah perjuangan baharu kepada Rancangan Politik Lima tahun untuk rakyat Sarawak ke arah menawan negeri itu pada pilihan raya negeri tahun 2021,” tambahnya.

DAP mula bertapak di Sarawak pada 1978, dan mencuba beberapa kali sebelum mencatat kemenangan terbaik pada 2011.

DAP di bawah mediang Wong Ho Leng berjaya menawan 12 kerusi bandar daripada 15 kerusi ditandinginya pada 2011. – Sarawakvoice.com

KEMPEN DAP SARAWAK_0009

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru