Saturday, May 21, 2022

BN perkenal Maqasid Syariah martabat imej baharu negara Islam di  Malaysia

Secara Rawak

KUCHING: Kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan konsep Maqasid Syariah di Malaysia memberi imej positif tentang negara Islam di mata dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, hakikat ini diperkukuh dengan pengenalan indeks syariah yang jelas memberi gambaran jelas akan identiti negara Islam yang sebenarnya.

“Ini  penting bagi memastikan definisi negara Islam tidak dipolemikkan hingga menimbulkan persengketaan sesama umat seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat,” katanya pada ucapan ringkas selepas menunaikan Solat Isyak di Masjid Ikhwanul Islam, di Taman Sukma dekat sini malam tadi.

Islam, kata Najib merupakan agama syumul yang mengutamakan keamanan, kedamaian, dan menekankan semangat penyatuan dan toleransi.

“Ia menolak sama sekali sebarang elemen dan perlakuan ganas,” tegasnya.

Maqasid Syariah itu sendiri jelasnya, amat luas dan merangkumi pelbagai inisiatif,  dan dalam konteks yang dilaksanakan oleh kerajaan pemerintah hari ini, ia termasuklah pemberian BR1M dan  program 1AZAM bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

” Ia sangat Islamik sebenarnya. Sama juga jika kita bina sekolah, itu juga Islamik.

“Disebutkan bahawa membangunkan akal juga salah satu daripada prinsip dalam Maqasid Syariah.

Apabila melaksanakan maqasid ini, katanya, Malaysia memperoleh 76 peratus dari segi capaian indeks Syariah.

“Ini kita mesti pertahankan,” katanya.

Menurut Najib,  pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik turut mengiktiraf pencapaian dan inisiatif Malaysia, yang sukar ditandingi negara Islam lain di dunia.

“Kerana bersendikan indeks dan maqasid syariah ini jugalah wujud semangat toleransi kaum dan agama dalam kalangan rakyat.

“Ini cukup jelas di Sarawak, dengan rakyatnya  berbilang bangsa dan menganut pelbagai agama, namun dapat menjalani hidup bersama dan harmoni,” jelasnya.

Turut hadir, calon BN untuk Dun Semariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru