Saturday, December 3, 2022

Proses pengundian awal dijangka lancar, kertas undi mula diedar : Pengarah SPR Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Pengarah Pilihan Raya Sarawak, Datu Takun Sunggah hari ini yakin, proses pengundian awal esok akan berlangsung lancar di semua 79 pusat dan 100 saluran mengundi.

Menurutnya, proses tersebut akan bermula seawal jam 8 pagi dan akan tamat di antara jam 2 petang hingga 5 petang esok.

“Sebanyak 24,604 pemilih awal terlibat dalam proses pengundian ini, setelah ditolak dua Dun yang tidak bertanding,” katanya ketika ditemui di tarmac Hornbill Skyways dekat sini sebentar tadi.

Takun sebelum ini mengendalikan proses penghantaran bahan pilihan raya termasuk kertas undi, dakwat dan borang 8 untuk 41 kawasan Dun di tengah dan utara Sarawak.

“Sebanyak sebuah helikopter Bell 429, dua helikopter EC120 dan dua pesawat ringan King Air digunakan untuk tujuan penghantaran ini,” katanya.

Menurutnya lagi, penghantaran hari ini adalah yang terakhir sejak bermula pada 27 April lalu.

“Kerja-kerja percetakan telah bermula sejak 25 April lalu dan siap sepenuhnya pada 30 April lalu.

“Untuk kawasan Dun N1 hingga N37, kertas undi akan diambil oleh pegawai pengurus pilihan raya dari loji percetakan,” jelasnya.

Kerja-kerja percetakan kertas undi sebelum ini berlangsung selama enam hari, dengan melalui pemantauan dan kawalan rapi di loji percetakan Percetakan Nasional Berhad.

Ia berlangsung selama 24 jam selama 6 hari berturut-turut.

Pada majlis yang sama Takun memberitahu keputusan awal mungkin akan diperoleh seawal jam 5.30 petang manakala keputusan akhir akan diperolehi selewat-lewatnya jam 11.00 malam.

Ini merupakan kali 11, Sarawak menjalankan proses pilihan raya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru