Friday, September 30, 2022

Chong Chieng Jen pertikai jawatan Timbalan Ketua Menteri (Cina) untuk tangkis isu tidak berfungsi di Kota Sentosa — Kui Hian

Secara Rawak

KUCHING: Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian hari ini melahirkan rasa terkilan terhadap Pengerusi Dap Sarawak, Chong Chieng Jen kerana mengelirukan rakyat dan berniat jahat dengan menuduh wakil SUPP yang menjawat Timbalan Ketua Menteri (Cina) sebelum ini gagal berfungsi.

Dalam satu kenyataan kepada media, Kui Hian mendakwa Chieng Jen telah memutarbelitkan kenyataan sebenar, dengan tujuan masyarakat Cina di negeri termakan akan hasutannya.

“Ia juga sebenarnya merupakan taktik Chieng Jen untuk menafikan peluang masyarakat Cina di negeri ini untuk lebih diwakili setelah beberapa penggal terbiar,” kata calon BN untuk Dun Batu Kawah itu.

Kali terakhir jawatan Timbalan Ketua Menteri diberikan kepada SUPP adalah pada era parti itu diterajui Tan Sri George Chan Hong Nam.

Dap sebelum itu dikatakan menggesa rakyat untuk mengundi calon-calon yang mewakili parti Dap untuk lima tahun akan datang berikutan kegagalan SUPP memenuhi suara rakyat.

Bagi SUPP, prestasi lepas adalah perkara lalu yang tidak perlu diungkit kerana calon BN daripada parti itu kini terdiri daripada kalangan mereka yang berwibawa dan muka baharu yang terbukti mampu bekerja.

“Seharusnya rakyat melihat kepada Chieng Jen sendiri yang sebelum ini, hanya lantang menyalak dan mengkritik.

“Beliau mengkritik kerana mahu menutup kelemahan sendiri. Saya ingin bertanya akan kad laporan Adun beliau untuk Kota Sentosa sejak dua penggal lalu?”

Jika Chieng Jen mempunyai rekod prestasi yang kukuh, pastinya beliau akan memberi tumpuan kepada menonjolkan pencapaian dan tidak mengambil jalan keluar terdesak dengan menyalahkan orang lain.

“Ini tidak syak lagi merupakan taktik untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan prestasinya.

Berkaitan bukan penduduk asal Sarawak yang tinggal di Sarawak tetapi dibenarkan untuk mengundi, Kui Hian berkata, perkara tersebut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak untuk mengundi berdasarkan kependudukan, anggota tentera dan kakitangan kerajaan yang secara rutin berpindah-randah.

“Sehingga 31 Disember, seperti yang diwartakan dalam daftar pengundi, mereka ini telah ditempatkan dan bermastautin di Sarawak.

“Oleh itu mereka berhak mengundi di Sarawak. Sebagai peguam terlatih, Chieng Jen perlu tahu ini, dan  bukannya mencabar peruntukan ini dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadikannya sebagai isu politik dalam pilihan raya negeri.

Kata Kui Hian, jelas Dap ketandusan isu dan berada di bawah keupayaan sebenar untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Jika rakyat mahukan perubahan sebenar dalam kehidupan mereka, yang bukan retorik semata-mata, mereka perlu memilih BN,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru