Friday, August 19, 2022

Sarawak bukan milik bapak Adenan, kata Azmin Ali

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Menteri Besar Selangor berkata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak menghormati kedudukannya sebagai menteri besar dan Lim Guan Eng selaku ketua menteri Pulau Pinang.

Azmin dan Lim yang kini berada di Sarawak untuk berkempen menjelang hari mengundi pada 7 Mei  perlu meninggalkan Sarawak sebelum tarikh berkenaan dengan Azmin pada 2 Mei, manakala Lim  sehingga 5 Mei.

Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali itu dikeluarkan susulan kenyataan Adenan bahawa beliau bersedia mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh kehadiran Azmin dan Lim di Sarawak hanya kalau beliau menerima permohonan rasmi daripada kedua-dua pemimpin negeri terbabit.

“Kenyataan ini amat dikesali dan menunjukkan sikap tidak hormat terang-terangan Tan Sri Adenan Satem terhadap kedudukan menteri besar dan ketua menteri,”  kata Azmin dalam kenyataan media, semalam.

“Saya maklum yang sekarang ini merupakan musim pilihan raya. Maka dalam politik, seorang ketua perlu melakukan apa-apa jua tindakan yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan kemenangan partinya.

“Namun, pendirian bongkak lagi angkuh Tan Sri Adnan Satem ini melangkaui batas dan menzahirkan wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang menggunakan kuasa eksekutifnya secara melulu,” tambahnya.

Pejabat ketua menteri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kesediaan Adenan mempertimbangkan perkara itu sekiranya ada permohonan rasmi dibuat kedua-dua pemimpin pembangkang itu.

“BN Sarawak wajar menjauhi sikap hidung tinggi dalam menghalang dan mengekang kemasukan ke negeri itu atas alasan mengekalkan autonomi.

“Rakyat Sarawak layak melalui proses pilihan raya bersih dan adil. Justeru, perkara ini meliputi hak mereka memilih sesiapa yang mereka percaya, cara serta personaliti yang akan berkempen di sana – tanpa sebarang halangan mahupun rintangan,” tambahnya.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata tindakan yang diambil Adenan menyekat pemimpin pembangkang dari Semenanjung merupakan satu salah guna kuasa.

“Adenan sepatutnya tidak menyekat mereka. Apabila mereka masuk, mereka berhak tinggal 90 hari,” kata Chong yang berang dengan tindakan ketua menteri yang telah menyekat 26 pemimpin pembangkang sejak beliau berkuasa pada Februari 2014.

Azmin mengakui di satu majlis di Siburan, tidak jauh dari sini semalam, tidak akan mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh permit beliau berada di Sarawak.

Azmin berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat Sarawak untuk menilai jenis ketua menteri yang mereka miliki.

”Kerajaan Sarawak milik rakyat Sarawak, dan bukannya milik Adenan seorang saja. Beliau tidak boleh menganggap Sarawak seolah-olah milik bapanya, dan menyekat sesiapa yang dia mahu sesuka hati,” tegas Timbalan Presiden PKR itu. – Sarawakvoice.com

BERKAITAN: Isu negeri bapak: Abang Jo selar Azmin, cabar Azmin berlawan sebelum berhajat menentang Adenan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru