KUCHING: Dilahirkan pada 1969, Nani Saari atau lebih mesra dengan panggilan kak Nani seorang yang ramah dan mudah didekati.

Beliau bekerja sebagai Pembantu Perubatan, justeru bidang kerjanya sendiri menjadikannya lebih memahami dan mudah mendekati orang ramai.

amanah nani 2Nani Saari kini calon AMANAH di Dun Semariang menentang penyandang kerusi tersebut Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Nani bukannya wajah baharu dalam pilihan raya negeri memandangkan beliau juga pada PRN ke-10 antara calon di tanjung Datu menentang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau kini di bantu oleh anaknya sendiri selaku pengarah pilihan raya.

Walaupun dengan keadaan ayahnya yang sedang terlantar sakit di hospital, namun demi perjuangan dan rakyat, beliau masih sanggup membahagikan masa di antara menjaga ayahnya dan juga turun berkempen.

Dun Semariang pada pilihan raya lepas adalah antara Dun yang dilihat sebagai kubu paling kuat BN di Parlimen Petra Jaya.

Dengan jumlah undi sebanyak 8008, Syarifah Hasidah mengalahkan calon PKR saudara Zulrusdi dengan majoriti 5,431.

Secara peratusannya, calon BN tersebut mendapat sebanyak 75 peratus undi penduduk DUN Samariang.

Dun Semariang terdiri daripada kawasan Kampung Semariang, Sungai Bedil, Astana, Sukma, Kampung Lintang, Semerah Padi, Siol Kandis dan Kampung Tungku.

Pasukan Amanah di Dun  Semariang juga kini dibantu petugas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut sama menggembleng tenaga bagi memastikan Nani memenangi kerusi Semariang ini.

Dari pemerhatian beberapa hari berkempen, kita dapati mood pengundi bercampur dan berkisar pada beberapa isu utama.

Menurut pengundi, ADUN yang terpilih selama lima tahun ini dari BN tidak menjalankan tugas dengan cukup baik.

Banyak kemudahan asas seperti lampu jalan, dewan orang ramai dan jalan raya yang masih lama tidak dapat diselesaikan oleh wakil BN walaupun telah diberi mandat lebih dari sekali mentadbir.

Beliau juga jarang kelihatan meninjau keadaan penduduk dan hanya kelihatan apabila tiba musim pilihan raya.

Antara permasalahan paling besar ialah permasalahan tanah geran dan kemudahan elektrik bagi penduduk Kampung Sungai Midin.

Menurut Nani, beliau berjanji, sekiranya dipilih akan cuba sedaya upaya menjadi suara rakyat yang lantang memperjuangkan hak asasi penduduk kampung. – Sarawakvoice.com