BAU:  Seramai 36 calon Bebas akan mempertaruhkan nasib dalam pilihan raya 7 Mei ini.

Berbanding 2011, jumlah itu sebenarnya berkurangan sebanyak lima orang.

Berdasarkan rekod lepas, tidak mudah untuk calon Bebas memenangi pilihan raya.

Lima tahun lalu, hanya satu kerusi dimenangi calon Bebas.

George Lagong memenangi kerusi Pelagus kerana pengaruh dan sokongan Larry Sng, manakala sebahagian yang lain hilang wang pertaruhan.

Pada 2006, hanya seorang calon Bebas menang, sekali gus menandakan sukar untuk menembusi kerusi didominasi Barisan Nasional, kecuali calon terbabit benar-benar hebat.

Dengan peningkatan jumlah kerusi kepada 82 daripada 71, banyak yang menjangka jumlah calon Bebas kali ini sepatutnya meningkat, tetapi ternyata jangkaan itu meleset.

Ketua Menteri berkata ada daripada calon Bebas bertanding kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional.

“Ada beberapa jenis calon Bebas yang bertanding dalam pilihan raya ini. Ada daripada mereka yang mahu dibeli, bertanding kerana kecewa, dan memang ada yang benar-benar hendak bertanding,” katanya di satu majlis di Kampung Bijuray Mongag di sini semalam yang dihadiri sekitar 2,500 orang.

Kampung berkenaan berada dalam kawasan Serembu, satu daripada 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Serembu  menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon langsung Barisan Nasional, Miro Simuh dengan Athina Klaywa Sim (PKR), Buln Ribos (Star) dan Nyomek ak Nyep (Bebas).

Harapan untuk Miro memenangi kerusi majoriti Bidayuh adalah cerah walaupun berdepan saingan sengit.

Kata Adenan: “Calon Bebas hanya berangan untuk menang. Mereka kian terdesak, malah ada yang sanggup berbohong mengundi mereka sama seperti mengundi BN.”

Dalam pilihan raya lepas, terutama pada dekad 1970-an hingga 2006, memang ada yang bertanding dengan harapan untuk dibeli.

Namun, keadaan berubah selepas kemunculan pakatan pembangkang yang kuat pada 2011, dengan kehadiran calon Bebas, tidak lagi bermakna, kerana DAP dan PKR memastikan setiap kawasan perlu ditandingi.

“Nilai seseorang calon Bebas di pasaran bergantung kepada kredibiliti dan pengaruhnya. Jika calon itu ditanggapi kuat dan mampu menggugat kedudukan calon BN, maka nilainya lebih tinggi,” kata satu sumber.

“Bukan menjadi rahsia lagi bahawa sesetengah kerusi  tidak ditandingi pada masa lalu kerana sebab berkenaan, kata sumber itu lagi.

Ketua Menteri sendiri mengakui hakikat itu, dengan ada daripada calon terbabit sengaja tampil sebagai umpan.

Itulah, sebabnya, bagi mereka yang mengikuti politik dan pilihan raya Sarawak secara dekat, ada calon yang hilang pada hari penamaan calon, lupa membawa kad pengenalan, mengisi borang dengan salah secara sengaja, lupa membawa wang pertaruhan dan melakukan sesuatu perkara yang pelik-pelik.

Adenan mengingatkan pengundi supaya tidak terperangkap dengan helah calon Bebas. “Saya mahu menjelaskan bahawa calon BN Bebas bukan calon BN, dan saya nasihati rakyat supaya tidak mudah terpedaya. Hanya ada seorang calon BN bertanding di sini, dan beliau ada di hadapan anda semua,” katanya merujuk kepada Miro.

Adenan berkata selagi beliau menjadi Ketua Menteri, beliau tidak akan menerima calon Bebas.

Pemerhati politik berkata, kesukaran calon Bebas untuk memenangi pilihan raya adalah kerana mereka dianggap sukar melaksanakan pembangunan, keterhadan sumber, jentera akar umbi yang lemah, dan dianggap tidak seriius.

“Untuk pilihan raya ini, sebahagian besar daripada mereka akan hilang wang pertaruhan,” kata pemerhati. – Sarawakvoice.com