Sunday, August 14, 2022

Abang Johari ikrar pertahan kawasan Melayu Satok daripada dilenyap kemodenan

Secara Rawak

KUCHING:  Calon Barisan Nasional Kawasan N8 Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg malam tadi berikrar akan mempertahankan kawasan hartanah di perkampungan Melayu di situ dan beberapa kawasan lain daripada jatuh ke tangan bangsa lain.

abang johariBerucap pada majlis pelancaran cadangan pembinaan Dewan Kemasyhuran Bandarshah dan Wi-Fi @ Sacofa4u di Kampung Bandarshah, dekat sini, Abang Johari berkata, beliau dan beberapa pemimpin dari kawasan tersebut telah menubuhkan sebuah badan amanah, yang bukan sahaja akan membeli tanah-tanah yang ada di sekitar kawasan berkenaan, malah membangunkannya sebagai premis komersial milik Melayu.

“Ia bertujuan untuk memastikan hartanah-hartanah ini terus kekal milik kita,” katanya.

Beliau merujuk kepada penubuhan Permodalan Satok Berhad (PSB) tahun lalu bagi menyelesaikan isu lenyapnya perkampungan Melayu akibat gelombang pembangunan.

Abang Johari berkata, beliau mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Kampung Dagang di Bintulu dan Kampung Wireless di Miri yang kini hanya tinggal nama.

“Pada 3 Mei ini, PSB akan melancarkan pembinaan Hab Kewangan Islam di bekas tapak Binamara, sebagai mercu tanda baharu untuk Satok.

Projek ini yang menelan kos lebih RM300 juta akan dibangunkan dengan kerjasama Baitulmal, katanya.

Pada masa yang sama, bagi menambah keindahan kawasan Satok sebagai tarikan pelancongan, Abang Johari telah mencadangkan agar tebingan Kuching dipanjangkan hingga ke Kampung Bintangor manakala jambatan gantung — mercu tanda Satok yang dahulunya terputus — dibina semula sebagai produk pelancongan.

“Saya akan mengusulkan perkara ini kepada Denan (Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem) ketika mood dia baik, dan jika gagal, saya mohon Datuk Amin (Satem) bercakap dengan beliau,” katanya sambil mengakui jambatan tersebut mempunyai nilai sentimental kepada penduduk di perkampungan Kuching.

Abang Johari dan Adenan berkongsi kampung yang sama di Bandarshah, yang turut melahirkan banyak pemuzik, penyanyi dan pelakon asal negeri ini.

Pada masa yang sama katanya, PSB akan menjadi model kepada pengurusan hartanah masyarakat Melayu.

Jelas Abang Johari, projek seterusnya menjadi keutamaan, yang turut menggunakan model PSB adalah Projek Darulhana.

Projek penempatan Melayu seberang hilir ini katanya, akan menjadi ikon sebuah perkampungan baharu yang bukan sahaja moden dan tersusun, malah kental dengan tradisi Melayu.

Projek ini bermula dengan pembinaan Masjid Darulhana yang bukan sahaja indah, bahkan mengambil reka bentuk Masjid Negeri Sarawak yang lama.

Katanya, projek di atas tanah seluas 1000 ekar itu akan melibatkan kawasan kampung Panglima Seman dan Kampung Bintawa terlebih dahulu, memandangkan kedua-dua kampung tradisi ini telah mengalami keadaan sesak yang melampau.

Menyentuh tentang pembinaan Dewan Kemasyhuran Bandarshah, Abang Johari berkata, dia telah berunding dengan Adenan berhubung perkara tersebut, yang kemudian mencapai persetujuan, Abang Johari mendapatkan tanah, dan Adenan mendapatkan dana untuk pembinaan bangunan.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut melancarkan Wifi Sacofa4u yang bertujuan meningkatkan kekuatan jalur lebar di kawasan tersebut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru