Tuesday, December 6, 2022

“Saya bukan Pek Moh,” kata Adenan Satem di Batu Kawah, janji Dr. Sim jadi Menteri

Secara Rawak

KUCHING: Tanpa merujuk nama, tetapi hanya dengan menggambarkan warna rambut tokoh yang dimaksudkan, Ketua Menteri malam tadi berkata beliau bukan pemimpin berambut putih.

Tan Sri Adenan Satem dalam ucapan di hadapan sekitar 1,500 orang anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kuching City Mall di sini, dalam usaha untuk mendapat sokongan terhadap calon pasukan Adenan, dilihat cuba membezakan dan memisahkan pemerintahannya dengan kepemimpinan mantan Ketua Menteri.

Langkah itu juga bagi memastikan kemenangan presiden SUPP Dr. Sim Kui Hian. Jika menang, Dr. Sim dijanjikan jawatan dalam kabinet beliau, sebagai usaha untuk membujuk pengundi di kerusi terbabit di tengah asakan dua lagi calon lain.

Adenan begitu ligat berkempen di merata-rata tempat.

Hari ini beliau dijangka berkempen lagi di Sibu yang menyaksikan tiga kerusi Cina tumbang pada 2011, iaitu Dudong, Pelawan dan Bukit Assek.

Kali ini satu lagi kerusi dalam bahaya ialah Bawang Assan yang diwakili calon langsung BN Datuk Sri Wong Soon Koh.

Satu daripada punca Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihan raya ke-11 ialah faktor kepemimpinan Tun Abdul Taib Mahmud yang memerintah selama 29 tahun. Taib hanya berundur pada Februari 2014 selepas memerintah selama 33 tahun.

Banyak kritikan ditujukan kepada beliau, termasuk dari segi tadbir urus, agihan kekayaan negeri Sarawak, nepotisme, salah guna kuasa, dan sebagainya, dengan DAP jelas mendapat keuntungan daripada serangan itu.

Malah, ibu segala masalah bagi pilihan raya berkenaan ialah Taib Mahmud, dengan pembangkang menggunakan slogan “Undi BN=Undi Taib”.

Taib Mahmud yang memiliki idiosinkrasi atau gaya tersendiri menjelang pilihan raya termasuk janggut tidak bercukur dan memakai kemeja T kuning, diberi gelaran ‘Pek Moh’, yang bermaksud ‘rambut putih’ dalam pelbagai dialek Cina. Rambut putih Taib kelihatan bersinar sehingga mengukuhkan ethos atau wibawanya sebagai Ketua Menteri.

Adenan dalam ucapan yang menerima tepukan daripada orang ramai dalam majlis itu, mengakui bahawa dia berbeza daripada Taib.

“Saya Adenan Satem, saya bukan ‘rambut putih’,” katanya  yang jelas merujuk kepada Taib Mahmud.

Difahamkan ketika zaman pemerintahan Taib dari 1981 hingga 2014, Adenan merupakan antara menteri yang rapat dan berani mengkritik dan bergurau dengan beliau.

Satu daripada kerisauan 2.7 juta penduduk Sarawak ketika Adenan mengambil alih kuasa daripada Taib ialah sejauh manakah beliau dapat keluar daripada bayangan bekas Ketua Menteri yang terkenal sebagai pemimpin yang begitu berkuasa dan digeruni.

Selain itu, dapatkah beliau mengisi kasut besar yang ditinggalkan Taib.

Dengan penarafan popularitinya mencecah 85 peratus menurut kajian Majlis Profesor Negara, dan dengan 53 langkah dan prinsip yang dilaksanakannya, Adenan ternyata cuba keluar dari bayangan Taib dan mampu mengisi kasut besar yang ditinggalkan.

Adenan mengakui Taib tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran beliau.

Mengakui beliau mempunyai pendekatan tersendiri, ‘gaya Adenan’ sebagaimana terserlah melalui papan iklan.

Sambil menafikan terdapat campur tangan Taib dalam urusan pentadbiran, Adenan berkata, bekas Ketua Menteri itu tidak pernah menentukan perkara yang perlu dilakukan di sebalik khabar angin Taib masih lagi sedikit sebanyak campur tangan.

adenan batu kawah

“Bekas Ketua Menteri tidak pernah tentukan perkara yang hendak dilakukan, malah beliau sudah punya kedudukan yang tidak punyai kaitan dengan politik. Ini Adenan bukan ‘rambut putih’,” katanya.

Pada 1980-an, hubungan Taib dengan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yakub menjadi tegang disebabkan campur tangan Rahman terhadap kepemimpinan beliau sebagai Ketua Menteri.

Taib  mengambil alih kuasa daripada Rahman Yakub pada 1981, yang kemudiannya dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Kesudahannya ialah peristiwa Ming Court pada 1987 sehingga membawa kepada pilihan raya mengejut apabila Taib menewaskan Kumpulan Maju pimpinan Rahman Yakub, dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada masa lalu, rakyat tidak menyenangi BN sehingga undi popularnya hanya mencecah sekitar 55 peratus pada 2011.

“Saya tahu pada masa lalu, masyarakat Cina tidak suka BN, tetapi sekarang sudah berbeza. Beritahu mereka, sekarang bukan lagi Pek Moh, tetapi Adenan,” kata beliau.

Kempen Adenan di Batu Kawah memberi isyarat bahawa kawasan itu berdepan masalah.

Malah, kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Presiden SUPP, Christina Chiew (DAP) dan Liu Thian Leon (Bebas) dijangka amat sengit. Kerusi itu antara 24 kerusi BN yang dikategorikan sebagai hitam.

Kehadiran Liu, pemimpin parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP), dilihat cuba menggugat kedudukan Dr. Sim dalam usaha untuk membunuh kerjaya beliau. Liu bertindak keluar UPP kerana kerusi itu tidak diserahkan kepada parti serpihan pimpinan Datuk Sri Wong Soon Koh, sedangkan nama beliau diuar-uarkan mewakili parti itu.

Batu Kawah dimenangi  Christina Chiew dengan 543 undi majoriti pada 2011, menyebabkan Dr. Sim pada awalnya yakin dapat memenangi kerusi yang punya 16,991 pengundi itu.

Namun, kehadiran Liu sebagai pencabar mengubah graviti politik di kawasan itu, meletakkan kedudukannya dalam risiko besar.

Keputusan penuh pilihan raya, seawal 11 malam, Sabtu depan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru