SRI AMAN: Usaha untuk menumbangkan calon penyandang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Simanggang, kerusi majoriti Iban merupakan sesuatu yang menarik perhatian ramai di sini.

dr nguDengan misi utama untuk memastikan Datuk Francis Harden Hollis yang menang dengan majoriti 2,447 undi pada 2011 tidak lagi menjadi wakil rakyat di kerusi itu, maka calon Bebas, Datuk Dr. Ngu Piew Seng dianggap pemerhati politik sebagai pencabar yang boleh menggugat kedudukan bekas Menteri Muda itu.

Dalam pertandingan empat penjuru pada 7 Mei ini, penyandang lima penggal itu juga bakal ditentang Norina Umoi Utot (PKR) dan Leon Jimat Donald (DAP), namun tentangan utama dikatakan adalah daripada Dr. Ngu.

Undi kaum Iban dijangka pecah tiga, tetapi undi masyarakat Cina dipercayai lebih memihak kepada Dr. Ngu.

Iban merupakan 54. 2 peratus pengundi, Cina 35.5 peratus, Melayu Melanau 8.8 peratus, dan lain-lain 1.5 peratus daripada 11,472 pengundi di kerusi itu.

Simanggang merupakan kubu kuat SUPP tetapi pengundi kecewa dengan prestasi Adun berkenaan. Harden didakwa gagal mengukuhkan perpaduan dalam kalangan  pertubuhan Cina.

Pengundi di kawasan itu dipercayai tidak lagi mahu mengekang kekecewaan mereka, dan mahu melakukan perubahan dengan memastikan Harden ditewaskan.

Dr. Ngu, pengerusi Lembaga Penasihat Klinik Sri Aman yang berjejak di bumi begitu disenangi bukan sahaja dalam kalangan pengundi Cina, tetapi juga penduduk rumah panjang.

Agenda perjuangan presiden Persatuan Cina Sri Aman dan Betong itu adalah untuk menghapuskan kemiskinan, mempercepat pembangunan, mewujudkan peluang pendidikan yang saksama, mewujudkan keadaan hidup harmoni dalam kalangan penduduk, termasuk masyarakat Cina di Sri Aman, serta menuntut lebih banyak faedah untuk masyarakat Iban dan masyarakat luar bandar.

Kata Dr. Ngu dalam satu pertemuan dengan pengundi di rumah panjang beberapa hari lalu, “Wakil rakyat yang gagal beri perkhidmatan kepada rakyat dengan adil dan baik perlu disingkirkan. Inilah maksud demokrasi. Ini adalah hak rakyat. Rakyat sepatutnya menjadi ketua.”

Beliau berjanji tidak akan mengamalkan pilih kasih jika dipilih sebagai wakil rakyat, tetapi akan melayan semua dengan adil.

“Beri saya lima tahun, tetapi jika saya tidak begitu bagus, saya akan berundur tanpa anda perlu melakukannya,” kata seperti dilaporkan media.

Beberapa hari lalu, Hardin menyatakan keyakinannya mempertahankan kerusi itu meskipun mengakui berlaku perpecahan dari segi sokongan antara SUPP dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (UPP).

Harden kini ligat berkempen termasuk di rumah panjang di pedalaman, dengan berjanji untuk terus membawa pembangunan, termasuk bekalan elektrik luar bandar dan projek lain bagi memperbaik ekonomi penduduk di kawasan terbabit.- Sarawakvoice.com