Tuesday, August 16, 2022

Pembangkang, BN serang pengundi dengan poster, bendera dan papan iklan

Secara Rawak

KUCHING: Strategi komunikasi dan pemasaran politik yang ampuh diperlukan dalam usaha untuk membujuk 1.13 juta pengundi dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Perang poster semakin bersemarak bukan sahaja di sini, tetapi juga di 80 kerusi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan sebahagian pengundi menganggap pilihan raya sebagai pesta dalam erti kata luas.

Pada hari penamaan calon 25 April lalu, BN memenangi dua kerusi tanpa bertanding di Bukit Kota dan Bukit Sari.

Di rumah-rumah panjang dan kampung, poster calon dan Ketua Menteri menghiasi ruai dan bilik. Namun, ada juga kawasan yang tidak bermaya dari segi perang poster.

“Saya ke kawasan Saratok, perang poster kurang hebat, tak menarik, saya lalu ke kawasan Spaoh, pun tak menarik, Betong ada sikitlah, Kabong susah hendak cakap, lembab,” kata seorang pengundi yang lalu di kawasan itu kepada Sarawakvoice.

Berbeza daripada poster dalam pilihan raya lalu, poster calon BN kelihatan tidak lagi menggunakan gambar pasport yang tidak bermaya, tetapi menggunakan gaya yang lebih hidup, dengan sebahagian calon menggunakan gambar mereka seolah-olah melambai ke arah pengundi.

Selain poster, papan iklan turut digunakan, dengan papan iklan menggunakan slogan ‘Demam Adenan’ dan sebahagian daripada 53 keputusan dan prinsipnya dipaparkan sebagai cara mempromosikan jenama Ketua Menteri yang mempunyai penarafan tinggi dari segi populariti.

Bagi DAP, selain menggunakan poster, kain rentang dan papan iklan, didapati ia agresif menggunakan risalah dengan tumpuan diberi kepada isu 1MDB dan GST.

Di sepanjang jalan utama di sini didapati poster dan bendera BN Nasional begitu menguasai; sebaliknya di jalan utama  di Kota Samarahan, bendera Pas kelihatan dominan.

Dalam pilihan raya ini, parti politik, pembangkang turut menggunakan maskot dalam strategi kempen. DAP kini menggunakan maskot burung kenyalang manakala PKR mengemukakan badak biru, Adil dalam kempennya. SUPP pula mengemukakan lebah kuning dan UPP menggunakan helang.

Semua strategi ini adalah bagi melengkapkan kempen tradisional yang menyaksikan calon dan jurukempen berceramah dan menemui pengundi dari rumah ke rumah, kedai kopi ke kedai kopi dan dari kampung ke kampung.

Sementara Adenan terus mendendangkan lagu Cliff Richard dan Elvis Presley di pentas politik sebagai gaya khas Adenan yang didapati mampu menghiburkan khalayak. Berbeza dari gaya Taib, Adenan juga lebih banyak muncul di kaca tv dalam program bicarawara selain bersemuka melalui sesi sidang media.

Perang poster, bendera dan papan iklan dianggap memberi kesan psikologi yang positif dan sedikit sebanyak mampu membujuk pemikiran bawah sedar pengundi meski sebahagian pengundi telah pun membuat keputusan siapa yang bakal diundi pada 7 Mei nanti. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru