SIBU: Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan laluan penting bagi negara ini melahirkan modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berpengetahuan dan berinovasi.

Ia juga penting dalam menghadapi saingan di peringkat global selain sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

Semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Dewan Sekolah SMK Sacred Heart, dekat sini petang tadi, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, pendidikan berasaskan TVET ini akan dapat melahirkan ramai pekerja mahir dan separa mahir yang terlatih.

“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2016, kerajaan memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan pendidikan TVET dan ini menandakan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan TVET,” katanya.

fadillah tvet

Fadillah yang juga Ketua Pemuda BN Sarawak berkata, ia juga selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai antara pengguna teknologi tetapi juga pencipta teknologi yang unggul pada masa hadapan.

“Bagi merealisasikan wawasan ini,  Malaysia memerlukan bilangan pekerja mahir dan separa mahir yang cukup dalam pasaran pekerjaan.

“Ia merupakan ciri asas kepada pembentukan negara maju sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, penubuhan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan menjana pelbagai peluang pekerjaan khususnya kepada anak jati negeri ini.

“Oleh yang demikian tenaga kerja separa mahir dan mahir ini amat diperlukan bagi mengisi keperluan industri-industri berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang atau memandang rendah akan TVET kerana bidang teknikal dan vokasional ini amat diperlukan pada masa sekarang dan masa depan. – Sarawakvoice.com