Wednesday, December 7, 2022

Manifesto politik dan politik manifesto

Secara Rawak

Istilah manifesto berasal daripada perkataan Itali, iaitu manifestum.  Daripada istilah asal tersebut, ia bermakna  ‘jelas’ atau  ‘dengan mudah dapat dilihat’.

Konsep Manifesto Baghad 1011 ialah terawal sekali di dunia  diikuti penggunaannya dalam bahasa Inggeris pada tahun 1620.

Manifesto ialah pernyataan untuk perhatian, mempunyai motif, gagasan, kepercayaan, dasar dan apa-apa yang perlu dirumuskan untuk dipersembahkan kepada khalayak sasarannya.

Dalam manifesto politik,  ia meliputi konsep  tersebut untuk disampaikan kepada rakyat  khususnya kepada pengundi agar parti diterima dari segi gagasan, idea dan landasan perjuangannya.  

Lazimnya, sebuah manifesto berupa idea baharu, pendapat konsensus yang boleh diterima pakai dan melahirkan hasrat untuk dilaksanakan apabila dipilih sebagai calon atau apabila parti memenangi pilihan raya dan berjaya memerintah.

Manifesto BN dan Rancangan Malaysia

Apabila BN Sarawak melancarkan manifesto beberapa perkara dipertimbangkan. Yang penting mereka mempunyai sejarah yang panjang sebagai parti pemerintah. Jadi, mereka sudah  berpengalaman  dalam pentadbiran negeri dan  mengenal pasti hambatan-hambatan atau cabaran dalam membangunkan negeri Sarawak yang keluasan negeri hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia.

Sebahagian besar pembangunan yang ingin dilaksanakan  tidak lebih sebagai kesinambungan  pembangunan yang sedia ada yang menjadi sebahagian daripada pembangunan nasional.

Ini dibuktikan penyertaan Sarawak dalam Rancangan Malaysia yang sudah berlangsung selama beberapa penggal sejak Rancangan Malaysia Pertama (1960-1970) hinggalah kini sudah ke tahap Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) .

Rancangan pembangunan ini menunjukkan pembangunan dirancang dan dijalankan secara teratur. Jadi, manifesto pilihan raya lebih kepada sedutan-sedutan kecil dalam Rancangan Malaysia yang dipancarkan dalam manifesto BN dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Manifesto BN Sarawak ialah pancaran daripada rancangan  pembangunan negara yang dirancangkan dengan teliti dari peringkat seperti maklum balas daripada wakil-wakil rakyat di dewan undangan negeri, dewan rakyat dan dewan negara, dirumuskan oleh kajian-kajian semasa, penglibatan agensi-agensi kerajaan, unit perancangan ekonomi, kajian pakar ekonomi dan pembangunan, melakukan penstrukturan ekonomi,  penubuhan agensi-agensi baharu bagi menampung keperluan baharu. Kesemua ini berlangsung dalam proses yang panjang. Bukan dirangka dalam satu malam!

Penubuhan Rida dan Felda sesuai dengan tuntutan zaman era tahun 50-an. Begitu juga perluasan Felda dan penubuhan Fama pada tahun 1960-an. Tuntutan ekonomi pada tahun 1970-an pula membawa kepada penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Risda.  

Pada masa kini, sesuai dengan tuntutan untuk memajukan ekonomi bumiputera dalam penglibatan  perniagaan maka Teraju ditubuhkan bagi keperluan pengembangan syarikat-syarikat bumiputera untuk lebih dinamik lagi.

Manifesto realistik

Justeru,  apabila manifesto  dilancarkan didapati manifesto BN lebih realistik dan tidak menjanjikan manifesto sebagai satu bentuk janji murahan yang tak mungkin dapat  dicapai. Maka, janganlah kita mengharapkan manifesto BN menawarkan  perkhidmatan wifi percuma sedangkan  situasi demografi Sarawak yang luas, bekalan elektrik masih belum lagi  dapat disediakan secara sepenuhnya.

Dalam realiti politik, rakyat  semakin bijak untuk menilai janji politik kosong dengan janji politik realistik.  

Namun ada juga yang masih di peringkat politik parokial  dan subjek yang tidak peka dan mudah tertipu serta masih pasif dalam pemahaman politik.

Yang pasti, sejauh manakah manifesto dimanipulasikan dan dipolitikkan untuk meraih undi sebanyak mungkin?  Inilah realiti politik yang berlaku. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru