Monday, August 8, 2022

Lapangan terbang baharu, Lebuh raya Pan Borneo hadiah Najib kepada rakyat Limbang dan Lawas

Secara Rawak

LAWAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata, penduduk di Limbang dan Lawas bakal menikmati perubahan pesat apabila Projek Pan Borneo siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berucap di Padang Awam Lawas dekat sini, Najib berkata, projek kejuruteraan mega terbesar Sarawak yang bernilai RM16 bilion itu tidak akan mengenakan sebarang tol demi manfaat penggunanya.

“Ia bukan sahaja menghubungkan Kuching dan Lawas malah tembus terus ke Sabah melewati Sipitang, Beaufort hingga ke Tawau.

“Banyak orang luar akan datang pada hari minggu ke sini. Orang Brunei akan turun ke Lawas.

Kerana itu katanya, kerajaan bercadang untuk membuat fasa kedua projek ini bersama-sama Kerajaan Brunei Darussalam.

“Kita buat lebuh raya. Kita bincang dengan Brunei agar kurang protokolnya, pasportnya jangan banyak kali cap.

“Sekarang ini sudah lapan kali cap cap cap cap je,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

bn najib 2

Kunjungan Najib semalam sedikit terlewat berikutan masalah cuaca di Miri yang hujan lebat, setelah sekian lama berhadapan cuaca panas.

Beliau tiba kemudiannya dengan menaiki helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia dari Miri.

Turut menyambut beliau ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Perancangan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya lagi, kerajaan juga membina laluan darat menghubungkan Ba’ kelalan menerusi projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia — bagi menangani masalah perhubungan di kawasan tanah tinggi itu — membuktikan kerajaan tidak akan meminggir seluruh rakyatnya, walau ditadbir pembangkang.

Menjelas lanjut, Najib berkata, kesemua pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil komitmen Kerajaan Barisan Nasional  yang diterajui Tan Sri Adenan Satem sebagai Pengerusi BN Negeri.

Najib turut berterima kasih kepada masyarakat Limbang dan Lawas kerana memberi kemenangan kepada calon BN di Dun Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan calon Dun Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail.

Sebagai penghargaan katanya, kerajaan akan menaik taraf padang terbang Lawas kepada sebuah lapangan terbang yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Najib kemudian bersama-sama pemimpin BN yang beragama Islam dan dua ribu yang lain menunaikan solat jumaat di Masjid Darul Makmur dekat sini, sebelum berangkat ke Long Lama di Marudi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru