MIRI: Dengan majoriti hanya 58 undi pada 2011, Datuk Lee Kim Shin tentu gusar dengan nasib yang bakal menimpanya pada 7 Mei ini.

Kerusi ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Lee bakal ditentang Dr Bob Baru (DAP) dan Philemon John Edan (PBDS Baru).

Kerusi ini mempunyai 27,874 pengundi berdaftar terdiri daripada 49.7 peratus pengundi Cina, 21.7 peratus Iban,  21.7 peratus Melayu/Melanau, Orang Ulu 4.6 peratus,  Bidayuh 1.1 peratus, dan lain-lain 1.2 peratus.

Jika pola pengundian kaum Cina tidak memihak kepada Lee, besar kemungkinan kerjaya politik bekas Menteri Muda Perhubungan dan Pembangunan Infrastruktur itu akan terkubur pada Sabtu depan.

Seratus satu rekod laporan tentang segala projek dan kegiatannya sejak 1996 tidak menjamin kedudukannya di kerusi itu selamat.

Calon DAP, Dr Bob Baru Langub, 64,  seorang doktor pergigian yang terkemuka, dengan rekod perkhidmatan lebih 30 tahun, tentu menyebabkan Lee perlu risau. Walaupun tidak berjaya merebut kerusi itu, beliau kekal berjuang dan bekerja memberi khidmat kepada rakyat dan parti.

Calon DAP yang bergengsi ini terkenal dengan sifat pemurah kerana sering memberi rawatan percuma kepada golongan miskin dan kurang berupaya.

Pintu hatinya terbuka menyertai DAP pada 2011 sebagai wadah perjuangannya dengan semangat membara. Anak Lun Bawang itu pernah bertanding untuk merebut Parlimen Lawas pada dalam pilihan raya umum lalu.

Dr. Bob doktor pergigian lulusan Universiti Malaya pernah berkhidmat di Kapit dan Bintulu selama tujuh  tahun sebelum berpindah ke sini untuk membuka klinik pergigian sendiri.

Beliau menyertai DAP kerana ingin memperjuangkan nasib golongan terpinggir dan kurang bernasib baik.

Antara isu utama di kawasan ini ialah bekalan elektrik dan sistem saliran di beberapa buah kampung dan masalah pengurusan sampah.

“Saya juga melihat wujud masalah melibatkan kawasan berniaga bagi peniaga kecil yang datang dari kampung. Begitu juga dengan masalah saliran, sampah dan pengurusan sisa pepejal yang teruk, ” kata calon DAP itu dalam satu kenyataan kepada media. – Sarawakvoice.com