Abang Jo ramal 70 kerusi milik BN

0
51
Foto: Bernama

KUCHING: Berdasarkan risikan awal, Barisan Nasional (BN) akan menang hingga 70 kerusi pada Pilihan Raya Negeri pada 7 Mei ini.

Menurut Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, keadaan ini bersandarkan trend sokongan yang semakin mencanak serta perbalahan yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang.

“Sehubungan itu, BN Sarawak yakin akan memperoleh mandat yang lebih besar untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Padang Komuniti Japalas Muda Hashim, di sini, malam tadi.

Abang Johari menambah, berdasarkan maklumat awal 68 kerusi sudah berada dalam genggaman parti itu daripada 80 yang ditandingi.

“Dua tiga kerusi lagi … insya-Allah akan dapat kita menangi dengan kerja yang sedikit lebih, termasuk di kerusi yang kini dikuasai pembangkang” jelasnya, sekali gus menyokong kenyataan Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem yang mendedahkan hanya 10 kerusi yang dikategorikan hitam tiga hari lalu.

Untuk rekod, pembangkang menguasai 15 kerusi pada pilihan raya lalu dengan Dap menang 12, PKR 2 dan Bebas 1.

Abang Johari yang juga calon Dun Satok berkata, pasukan Adenan ini perlu mencapai mandat lebih besar bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan dan memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Abang Johari turut memetik kenyataan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Pusat, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semalam yang menyifatkan budaya politik di negeri ini sangat matang.

“Budaya di sini berbeza dengan Semenanjung kerana rakyatnya menitikberatkan aspek keharmonian dan persaingan sihat.

“Seolah-olah tidak ada pilihan raya. Kalau di Semenanjung kata mereka, kesengitan persaingan sudah terasa dan pergaduhan serta perdebatan akan berlaku hingga keadaan menjadi tegang.

“Di Sarawak, walaupun kita berbeza politik, kita mengutamakan persaudaraan. Inilah budaya kita. Yang penting selepas pilihan raya, kita kerja dan tadbir negeri ini dengan baik,  bukan berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Abang Johari akan ditentang calon muda Mohd Salleh Shawkatali di Dun Satok dalam saingan satu lawan satu. Menteri Perumahan Sarawak itu akan mempertahankann kedudukannya untuk penggal ke sembilan, sejak 1983. – Sarawakvoice.com