Kedudukan Pulau Bruit begitu jelas letaknya dalam peta Sarawak, namun kehadiran penduduknya terasa seolah-olah tidak disedari oleh kerajaan sedia ada.

Sekian lama, penduduknya bersuara inginkan kemudahan asas yang lebih baik seperti bekalan air bersih, sambungan elektrik yang stabil, jalan raya selesa yang mampu menghubungkan semua kampung di sekitarnya.

Suara yang inginkan pemimpin tempatan untuk menjadi YB juga selalu diluahkan, namun sering dinafikan oleh “kredibiliti” orang luar.

Inilah antara impian dan harapan yang kerap didendangkan oleh rakyat DUN N.42 Semop.

Bilakah keinginan rakyat DUN Semop ini akan tuntas terjawab dan tertunai?

Semenjak merdeka, BN kerap bersuara dengan janji manis menggiurkan setiap kali pilihan raya atau ada lawatan kerja.

Namun, suara janji itu tinggal sepi apabila kemenangan sudah berada di tangan.

Kini, suara harapan baru calon AMANAH untuk DUN Semop, Fadillah Sabali telah menawarkan diri masuk gelanggang.

Suara ini turut menawarkan bantuan untuk menuntut janji yang pernah ditaburkan dahulu agar ditunaikan.

Bahkan, jika menang calon ini berusaha memperjuangkan nasib rakyat dan berikhtiar membawa pembaharuan serta membantu menghulurkan kemudahan asas yang diperlukan penduduk.

Semoga suara baru ini mampu membantu membesarkan suara penduduk DUN Semop sehingga dapat menunaikan sendiri janji “orang terdahulu” melalui curahan keringat dan sumbang bakti, berkhidmat untuk rakyat.

Suara baru ini seharusnya mampu mengatasi suara BN, agar janji tidak tinggal janji, bahkan selayaknya dikotakan.

Suara baru ini mengungkapkan slogan “Amanah, Progresif dan Peduli” untuk memberi harapan melengkapkan keperluan asas yang sepatutnya sudah dinikmati penduduk sedekad yang lalu.

Hasilnya, bagaimanakah suara penduduk DUN Semop pada hari mengundi, 7 Mei nanti? Masihkah pengundi mahu terus bersuara dengan lagu dendangan lama?

Atau tarikh itu mampu melahirkan Semop yang baru, menghidangkan lagu dendangan baru.

Dan sekali gus menjadi titik mula perubahan untuk menjadi sebuah kawasan yang lebih baik? – Sarawakvoice.com