Saturday, September 24, 2022

‘Perang saudara’ antara DAP, PKR di Batu Kitang

Secara Rawak

KUCHING: Batu Kitang merupakan satu daripada kerusi yang menjadi sorotan media kerana ia membabitkan perbalahan antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Difahamkan dalam perundingan awal, DAP bersetuju menyerahkan kerusi baharu itu kepada PKR bagi mengelakkan sebarang pertindihan dalam usahanya menentang Barisan Nasional (BN) pada 7 Mei ini.

Namun, kini DAP dan PKR terpaksa bertembung di enam kerusi,  sekali gus membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan Pakatan Harapan itu.

Lima lagi kerusi lain pasti berkenaan berlawan sesama sendiri dalam perang saudara adalah di Simanggang, Mambong, Ngemah, Murum dan Mulu.

Batu Kitang, terletak di antara Kuching dengan Bau, dekat sini, mempunyai 17,494 pengundi; 54.8 peratus Cina, 20.1 peratus Melayu/Melanau dan selebihnya Iban.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan lima penjuru. Calon muka baharu BN dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Lo Khere Chiang akan ditentang oleh Voon Shiak Ni, 46 (PKR) Abdul Aziz Isa, 27 (DAP), Sulaiman Kadir (Bebas), dan Datuk Seri Othman Bojeng (Bebas).

Aziz Isa sepatutnya bertanding di Stakan, tetapi dalam satu tindakan mengejut, telah berpindah ke kerusi itu, kerana DAP mempercayai peluang Aziz lebih baik di kerusi baharu itu walaupun ada yang menyifatkan anak muda itu sebagai lembu korban DAP.

Tindakan DAP dan PKR bertanding sesama sendiri, banyak menimbulkan persoalan dan keraguan dalam kalangan pengundi, dengan calon PKR.

Voon Shiak Ni sentiasa ditanya pengundi ketika berkempen, mengapa kejadian sedemikian boleh berlaku.

Voon, seorang peguam yang juga Naib Presiden Wanita PKR dalam ceramah malam semalam mengakui ketika menyerahkan kertas pencalonannya Isnin lalu, beliau terkejut apabila DAP turut mengemukakan calonnya, sedangkan katanya, beliau mendapat watikah daripada PKR.

“Saya mendapat arahan daripada parti saya untuk meneruskan perkhidmatan di Batu Kitang. Ini keputusan amat penting bagi pengundi di sini,” katanya.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak,  perbalahan dalam kalangan parti menganggotai pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat untuk terus memilih Barisan Nasional (BN) memimpin Sarawak.

“Pada Januari lepas, DAP, PKR serta Amanah telah membuat aku janji untuk meletakkan satu calon sahaja bagi setiap kawasan untuk menentang BN, tetapi hari ini, janji tinggal janji sahaja.

“Pembangkang sudah tidak bersatu hati sekarang dan bertembung sesama sendiri di enam kerusi. Mereka tidak ada kerjasama dan tidak mungkin dapat menubuhkan kerajaan yang stabil di Sarawak,” katanya di satu majlis di Siburan semalam. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru