Sunday, August 14, 2022

Menteri Besar Terengganu bagai telur di hujung tanduk

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Kehadiran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman di Mesyuarat Ke-72 Majlis Tanah Negara (MTN) Putrajaya, semalam mendapat perhatian luar biasa media.

Menteri yang hadir juga teruja hendak berjumpa dengan beliau, bertanya kisah di sebalik episod duka yang menimpa beliau ekoran krisis dengan istana Terengganu.

Gelaran Datuk Seri yang diterima beliau pada April tahun lalu telah dilucutkan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Isnin berkuat kuasa Jumaat lalu, justeru mencetuskan pelbagai macam spekulasi, termasuk punca tindakan drastik itu, dan juga kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.

Menteri Besar itu tidak lagi dipanggil dengan gelaran tersebut, malah namanya pun tidak disebut dalam beberapa majlis, membayangkan kemurkaan Sultan.

“Menteri Besar Terengganu datang,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya pemberita mengenai kehadiran Ahmad Razif pada mesyuarat itu.

Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat itu yang diadakan di Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pagi semalam.

Suhu politik di Terengganu semakin mendidih dan mendapat perhatian, terutama kemungkinan yang bakal berlaku walaupun Rabu dikatakan  Menteri Besar yang dalam adegan mencabar dan sukar itu telah diperkenankan merafak sembah di istana.

Mac lalu Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepemimpinan Ahmad Razif, tetapi kedudukannya selamat. Sudah mulai tanda awal, ada yang tidak kena dalam peristiwa berkenaan.

Malah, Ahmad Said, mantan Menteri Besar yang digugurkan dalam keadaan yang tidak kurang kontroversi sebenarnya telah memberi semacam isyarat awal kepada Ahmad Razif bahawa kedudukannya bagai telur di hujung tanduk.

Hanya Ahmad Said yang lebih faham akan kisah sebenar di sebalik semua itu. Dari situ perang saudara pun berlaku antara dua Ahmad itu dan jika tidak ditangani dengan berhemah dan bijaksana boleh memudaratkan kedudukan Barisan Nasional. BN hanya menguasai 17 kerusi dan pembangkang 15.

Kedudukan berkenaan adalah meruncing, dan jika tersilap perhitungan BN boleh tumbang.

Ketika krisis ini berlaku bagai tiada cahaya di hujung terowong bagi Ahmad Razif, tetapi adakah sebenarnya segalanya sudah berakhir selepas pertemuan antara beliau dengan Sultan Rabu?

Hakikatnya, pelucutan gelaran itu membawa implikasi besar sehingga ethos atau kredibiliti beliau sebagai Menteri Besar telah terhakis.

Bagaimana mungkin Menteri Besar dapat menjalankan tugasnya dengan lancar sedangkan beliau perlu bersemuka dengan Sultan setiap minggu?

Adakah jalan keluar terbaik untuk beliau adalah berundur, dan beliau perlu digantikan oleh Adun yang diterima oleh bukan sahaja rakyat tetapi juga pihak Istana.

Namun, adakah itu mampu menstabilkan kedudukan politik Terengganu? Atau pisang akan berbuah dua kali? Atau perlukah diwujudkan kerajaan campuran antara Umno dengan Pas sebagai jalan penyelamat  untuk menstabilkan keadaan?

Umno memang punya beberapa calon termasuk Ketua Umno Bahagian Setiu yang juga Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee; Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Adun Telemong yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Mohd Jidin dikatakan berada dalam kedudukan terbaik berbanding Adun lain. Tetapi segalanya terserah kepada Perdana Menteri dan juga Sultan Terengganu.

Kes ini menuntut penyelesaian bijaksana dengan berpegang kepada peribahasa, menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan sampai putus, dan tepung jangan sampai berselerak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru