Saturday, December 3, 2022

Menambat hati golongan pengundi muda

Secara Rawak

Dalam beberapa bulan lalu, saya telah turun ke peringkat akar umbi dan menemui ramai golongan muda hampir di seluruh Sarawak.  Saya cuba menyelami apa yang terbuku di kalbu mereka.

Benarkah golongan muda ini bersikap anti-establishment atau tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional seperti yang didakwa?  Atau itu hanya mitos atau tanggapan tanpa bukti konkrit?

Berdasarkan keputusan dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 2011, sebanyak 56 peratus daripada pengundi berusia 21 tahun hingga 40 tahun telah mengundi calon Barisan Nasional, manakala 44 peratus lagi menyokong Pakatan Rakyat, calon Bebas atau parti alternatif lain seperti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).  

Bagaimanakah pula kecenderungan mereka terhadap Pas, Amanah, PKR, DAP, dan Star pada 7 Mei nanti?

Peratusan tersebut hampir sama dengan peratusan keseluruhan undi popular yang diraih BN sebanyak 55.33 peratus. Dalam pilihan raya lalu, sebanyak 32.8 peratus daripada 979,796 pengundi berdaftar merupakan pengundi muda. Jumlah mereka adalah sebanyak 314,326 orang. Peratusan pengundi muda yang keluar mengundi ialah 68.5 peratus, berbanding sebanyak 73 peratus bagi jumlah keseluruhan yang mengundi.

Kali ini, daripada 1.13 juta pengundi berdaftar, sebanyak 11.58 peratus terdiri daripada mereka berusia 21 hingga 29 tahun. Sebanyak 20.82 peratus berusia dalam lingkungan 30 hingga 39 tahun.

Justeru, satu daripada cabaran bagi memastikan peningkatan undi popular BN adalah dengan memastikan terdapat peningkatan jumlah yang turun mengundi, terutama dalam kalangan pengundi muda.

Adakah pola pengundian kali ini sama seperti lima tahun lalu? Memang menarik untuk melihat bagaimana pola pengundian mengikut kawasan atau parti.

Sokongan pengundi muda terhadap BN di kawasan majoriti Cina pada 2011 rata-rata di bawah 50 peratus dengan sokongan paling teruk di Batu Lintang (24.2%) dan Padungan (30.3%).

Jumlah undi popular diraih BN daripada kalangan pengundi muda di Pending ialah 43.5 peratus, Kota Sentosa 46.2 peratus, Batu Kawah 45.1 peratus, Repok 45.5 peratus, Bukit Assek 43.1 peratus, Dudong 46.4 peratus, Pelawan 41.4 peratus, Kidurong 44.7 peratus, Piasau 40.2 peratus, Pujut 37.4 peratus dan Senadin 46.5 peratus.

Sokongan pengundi muda di kawasan etnik Bidayuh adalah di bawah 65 peratus bagi Kawasan Orang Ulu —   Ba Kelalan – 47.8%, Telang Usan – 45.5%, Belaga – 57%, dan Batu Danau – 67.6%

Sokongan pengundi muda terhadap BN di 14 kawasan melebihi 70 peratus. Semuanya kawasan berkenaan ialah kawasan yang ditandingi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dengan kawasan Bukit Sari meraih 91 peratus, Belawai 84 peratus, dan Balingian 81 peratus.  

Yang jelas, kawasan Melayu/Melanau mendapat sokongan yang kuat daripada pengundi muda – sesuatu yang jelas bercanggah dengan tanggapan atau kepercayaan umum.  Pola sedemikian tidak jauh berbeza daripada pola pengundian dalam kalangan golongan berusia 40 tahun ke atas.

Mengapakah golongan muda di kawasan terbabit masih menyokong BN? Hakikatnya, bagi pengundi terbabit, mereka masih lagi kuat terpengaruh oleh faktor parti; dan bukannya isu atau calon. Mereka masih lagi kuat dipengaruhi oleh politik keperluan asas, politik penaungan dan politik pembangunan.

Ketika itu sebanyak 45 peratus  menyatakan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan internet di kawasan mereka; 54.9 peratus  percaya dengan maklumat daripada internet, blog dan Facebook mempengaruhi kecenderungan politik belia dan sebanyak  69.4 peratus berpuas hati dengan perkhidmatan kerajaan dan pembangunan di kawasan mereka.  

Dengan jumlah pengundi muda besar, sudah pasti kesan daripada pendirian mereka yang disalurkan melalui peti undi akan memberi impak terhadap parti dan calon yang bakal menang.  – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru