SARIKEI: Selepas berping pong dengan kenyataannya sendiri, dengan sekejap bersedia untuk melepaskan kerusi Pakan, dan sekejap mahu mempertahankannya, Tan Sri William Mawan Ikom, seorang pemimpin politik yang sering melompat parti, akhirnya akan berdepan cabaran paling getir dalam kerjaya politiknya pada 7 Mei ini.

Istilah lebih keras untuk golongan pemimpin sedemikian ialah ahli politik katak, tetapi hakikatnya, sama ada Mawan selamat atau tidak kali ini banyak ditentukan oleh sikap 10,322 pengundi kawasan majoriti Iban di luar bandar Sarawak itu.

Survival politik menjadi teras perjuangan ahli politik katak, yang sudah berada di beberapa buah parti politik, tetapi kali ini tentu beliau tidak boleh mengambil mudah tentangan daripada lawannya.

Mawan pernah mewakili Pakan di atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP)-BN sejak 1991, dan mulai 2002 sebagai calon  Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP)-BN.

Krisis kepemimpinan dalam SNAP pada 2002 menyebabkan Mawan keluar dari parti bersejarah yang ditubuhkan pada awal 1960-an itu, dan bersama-sama lapan orang lagi ahli Majlis Tertinggi parti, mereka menubuhkan SPDP.

Presiden pengasas SPDP itu kemudiannya, pada Mei 2014, meninggalkan  parti itu untuk menubuhkan parti baharu, Teras selepas menyedari kedudukannya dalam parti berkenaan terancam.

Mawan,  mantan presiden Teras, yang bertanding atas tiket calon langsung Barisan Nasional (BN) akan ditentang sengit oleh Rinda Juliza Alexander dari DAP, dan Dr Jawie Jingot yang keluar dari SPDP, kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon BN, dalam misi dan perjuangan besar untuk menumbangkan pemimpin Iban itu.

Mawan Adun enam penggal menyedari hakikat, undi majoriti yang diraihnya semakin merosot dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya, sekali gus mencerminkan rasa tidak puas hati dan protes pengundi yang terdiri daripada pekebun dan petani terhadap prestasinya.

Pada 2001, majoriti beliau  ialah 2,302 undi, dan jumlah itu terus merosot tajam menjadi  1,763 pada 2006. Bagai tidak percaya, Mawan menyaksikan penurunan berterusan pada 2011 apabila majoritinya terus berkurangan kepada 1,197 undi.

Lima tahun lalu, Mawan yang memperoleh 58 peratus undi daripada 6,785 undi berbanding  calon SNAP Jamal Abdullah @ Tedong Anak Gunda yang mendapat 40.4 peratus undi.

Kalaupun Mawan menang kali ini, adalah sesuatu keajaiban jika beliau dapat memperoleh lebih 500 undi majoriti. Yang menyelamatkannya ialah pertembungan antara calon SPDP dengan DAP.

Skrip dan adegan yang dilakarkan tentu berbeza jika berlaku pertembungan satu lawan satu.

Katak politik itu perlu mencari strategi untuk mempertahankan kerusinya daripada diancam.

Tanpa menafikan akan berlaku sabotaj dan kekecewaan terhadap beliau atas sikapnya yang bagai nakhoda meninggalkan kapal, Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok tentu merasai kehangatan suhu politik yang tidak memihak kepadanya menjelang hari-hari kempen sekarang. Atau, Mawan, satu-satunya pemimpin politik yang diberi keistimewan menjadi Adun dan Ahli Parlimen dari Sarawak sedang menghitung hari dalam kerjaya politiknya?

Kekecewaan, kemarahan dan kekeliruan berlaku dalam kalangan pengundi. Haruskah Mawan diberi peluang atau peluang sudah lebih daripada mencukupi untuk beliau?

Mawan dilihat seorang pemimpin yang bersedia melakukan apa-apa sahaja demi survival politiknya.

Kata-katanya menjadi viral apabila beliau bersedia menerima apa-apa arahan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dari segi pencalonan.

“I am willing to jump from the fifth floor, if Adenan wants me to do so, ” kata beliau kepada media.

Harap kali ini beliau tidak tersalah lompat dari tingkat lima walau atas nama kesetiaan dan pengorbanan, kerana tersalah lompat  mendatangkan bahaya besar, malah boleh membawa maut. – Sarawakvoice.com