Sunday, August 14, 2022

Kunjungan dua generasi Razak gamit emosi penduduk Kampung Bunan, Serian

Secara Rawak

SERIAN: Ia sesuatu yang amat membanggakan bagi masyarakat Kampung Bunan, dekat sini apabila berpeluang menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak  sebagai tetamu hari ini.

Lebih membanggakan, ia berlangsung genap 50 tahun, selepas kampung tersebut menjadi hos kepada Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga ayahanda kepada Najib.

“Ia pengalaman luar biasa. Dapat melihat dua generasi Razak yang berada di tampuk kepimpinan negara, bertandang ke kampung ini, ” kata seorang warga emas wanita berusia 70-an yang ditemui Sarawakvoice.com

Tun Abdul Razak mengunjungi kampung ini pada 1966, ketika beliau menjawat Timbalan Perdana Menteri.

“Ketika itu kawasan ini masih berada dalam kawalan ketat pasukan keselamatan berikutan ancaman komunis dan pascakonfrontasi,” kata seorang lagi warga emas, yang juga salah seorang pemimpin masyarakat dalam kampung tersebut.

Berdasarkan sejarah, nama Bunan diambil sempena nama sebatang sungai di pedalaman Sarawak.

Pada tahun 1810, sekumpulan masyarakat Bidayuh Sambat dari Kalimantan Barat, Indonesia dikatakan telah meninggalkan kampung mereka, Bunan Mawang Sambat, untuk berhijrah ke lokasi baharu di pedalaman Sarawak, berhampiran Sungai Bunan.

Kumpulan ini mengambil keputusan untuk menetap di sini dan seterusnya mendirikan sebuah kampung yang diberi nama Kampung Bunan Mawang pada tahun 1820.

Kampung Bunan Mawang terdiri daripada dua buah rumah panjang atau ntangan yang bersetentangan, namun akibat diserang oleh suku dari Indonesia, salah sebuah ntangan telah dibakar.

Satu lagi ntangan tidak dapat dibakar, sebaliknya “dilenyapkan” daripada mata kasar oleh seorang tua.

Pada tahun 1949, penduduk kampung ini sekali lagi berpindah ke lokasi baharu iaitu, yang terletak sekitar 20 minit berjalan kaki dari Kampung Bunan Mawang asal.

Golongan yang berpindah ini merupakan kelompok penganut agama Kristian Katolik. Kampung baharu ini kemudiannya dinamakan sebagai “Kampung Bunan Gega”.

Dalam ucapannya kepada lebih seribu penduduk setempat, Najib menyentuh tentang peranan penting kaum Bidayuh di negara ini.

Biarpun komuniti ini hanya sekitar 200 ribu orang, namun mereka diberi peranan yang besar sebagai salah satu arkitek kaum yang membangunkan negara.

Najib turut menyeru masyarakat di kawasan ini agar terus menyokong calon BN, Martin Ben dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di seluruh negeri selepas ini.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut membuat kelulusan segera peruntukan RM1 juta untuk projek pembangunan premis tambahan Gereja St. Jude manakala Kerajaan Negeri akan menyalurkan geran sepadan pada jumlah yang sama.

Najib turut meluangkan masa bermesra dan mengagihkan makanan kepada 200 murid penerima Program Rancangan Makanan Tambahan di sekolah tersebut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru