Monday, August 8, 2022

PAS Miri rayu kerajaan bantu keluarga malang Nancy yang menderitai kanser

Secara Rawak

MIRI: Seorang pesakit kanser rahim tahap kedua di Pujut Adong 1A dekat sini memohon bantuan orang ramai untuk membiayai kos perubatannya ke Kuching.

Nancy Bili , 53 tahun didiagnosis kanser beberapa bulan lalu selepas kembali daripada bekerja membantu suaminya memotong rumput.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Miri mendapati terdapat perubahan pada bahagian dinding rahim yang menyebabkan Nancy terpaksa menjalani pemeriksaan biopsy.

Menurut calon PAS di Pujut, Joffry Jeraee, sejak waktu itulah Nancy tidak dapat membantu suaminya bekerja sebagai pemotong rumput.

Suaminya menaruh harapan agar pihak berkuasa dapat membantu isterinya berikutan dia tidak mampu menanggung kos  perubatan di Kuching.

“Mereka pernah memohon bantuan E-Kasih tetapi tiada jawapan hingga kini.

Dari kiri Pn Nancy, suaminya Pak Asan & PJ PAS Swak (1)

“Mereka sekeluarga juga menyewa rumah di pinggir Sungai Adong dan amat mengharapkan ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung.

Kata Joffry, PAS  berusaha untuk membantu mereka sekadar mampu.

“Sepatutnya pihak berkuasa , badan kebajikan serta Baitulmal boleh membantu dengan memberi bantuan bulanan atau menanggung kos rawatan ini,” katanya.

Sehubungan itu kata Joffry, beliau menggesa pihak berkuasa agar segera memberi bantuan kepada keluarga malang ini memandangkan mereka adalah daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Hospital Umum Miri katanya, tidak mempunyai kelengkapan terbaik untuk menangani masalah kanser.

“Kebanyakan pesakit kanser terpaksa diterbangkan ke Kuching dan menunggu giliran untuk diperiksa. Ini amat menyulitkan.

Masalah ini sudah lama diadukan kepada pihak berkuasa tetapi tiada tanda ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kos perubatan yang tinggi juga menyebabkan rakyat miskin terus menderita kerana tidak mampu untuk membayarnya,” katanya kepada Sarawakvoice.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru